10 ajaran sesat masih aktif dalam radar Jakim

10 ajaran sesat masih aktif dalam radar Jakim

SIRAJUDDIN Suhaimee ketika Program Temu Bual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 10 ajaran sesat dikesan masih aktif menyebarkan fahaman mereka di negara ini berada dalam pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, kesemua ajaran terbabit dikesan beroperasi di Malaysia, dengan sebahagiannya mempunyai kaitan serta pengaruh dari luar negara.

Beliau berkata, corak pergerakan ajaran sesat lazimnya bermula di kawasan luar bandar sebelum menyusup masuk ke kawasan bandar bagi menarik pengikut baharu.

“Biasanya mereka berkumpul di luar bandar dahulu, kemudian dibawa ke bandar. Ajaran ini juga tidak terikat dengan negeri tertentu kerana mereka akan beroperasi di lokasi yang dirasakan selamat dan mudah mendapatkan pengikut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Temu Bual Khas Bersama Pengarang Kanan Agensi Media, di sini hari ini.

Sirajuddin berkata, kebanyakan pengikut ajaran sesat terjebak dengan dakyah yang dibawa kerana keinginan untuk ‘cepat sampai’ ke makam lebih tinggi tanpa mengikut ajaran agama sebenar.

“Ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini terleka dengan amalan agama, kemudian mencari jalan singkat untuk ‘cepat sampai’ ke makam yang lebih tinggi. Di situlah mereka mudah terjebak,” katanya.

Beliau berkata, cabaran terkini menyaksikan ajaran sesat bukan hanya bersifat tradisional malah turut menyamar dalam bentuk program motivasi, pembangunan diri serta modul kerohanian, sekali gus menyukarkan pengesanan awal.

“Ada ajaran yang datang dalam bentuk motivasi atau program tertentu, namun hakikatnya membawa fahaman yang menyeleweng. Perkara ini memang dalam radar Jakim,” katanya.

Pada masa sama, Sirajuddin menegaskan, Jakim tidak hanya bergantung kepada tindakan tegas semata-mata, sebaliknya mengutamakan pendekatan harmoni dan mendamaikan bagi memastikan mesej dapat diterima semua lapisan masyarakat.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dengan lambakan pandangan agama di media sosial, termasuk fenomena ‘mufti Google’ dan ‘mufti TikTok’, yang sering mengeluarkan pandangan seolah-olah sudah menjadi hukum muktamad.

Justeru, dalam usaha menangani penyebaran fahaman songsang di alam maya, beliau berkata Jakim bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan bagi memantau dan mengawal kandungan digital yang mencurigakan.

“Kita sedar cabaran ini sukar dikawal sepenuhnya, namun kerjasama pelbagai pihak amat penting untuk menyekat penyebaran dan pada masa sama menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat.

“Tidak semestinya apa yang berada di hujung jari itu benar. Rujuk kepada Jakim atau pihak berkuasa agama negeri jika ada kekeliruan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN