KUALA SELANGOR: Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar enggan mengulas spekulasi menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.
Sebaliknya, beliau menegaskan lebih berminat untuk menyokong calon muda supaya mereka dapat diberi pendedahan dan melatih diri menjadi pemimpin negeri dan negara pada masa hadapan.
“No comment, saya tak tahu (dakwaan menjadi calon), saya cuma fokus kepada kerja-kerja kebajikan. Saya bukan hendak jadi Menteri Besar, saya tiada pengalaman dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengalaman saya banyak di parlimen.
“Saya suka melihat pemimpin muda ke hadapan dan saya akan memberi sokongan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas memberikan sumbangan kepada 14 mangsa ribut dekat Kampung Bestari Jaya, Tanjong Karang hari ini.
Malah, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu masih belum memberi keputusan sama ada untuk meneruskan hasrat tersebut walaupun sebelum ini pernah mendakwa menerima lamaran daripada parti-parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Noh menjelaskan ketika ini beliau mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kebajikan dengan mendekati penduduk di Tanjong Karang.
“Saya turun hari ini untuk buat kerja-kerja kebajikan melalui pejabat guaman saya dengan anak, Nurul Syazwani, kita memang ada CSR kita. Jadi, lebih-lebih lagi orang Tanjong Karang memang dekat di hati saya, Insha-Allah, saya tak lupa orang Tanjong Karang.
“Saya hendak beritahu bab bantu rakyat sejak jadi ahli parlimen saya tak kira parti, beri bersumbangan dari dahulu tak kira parti. Semua kita bantu. Jadi, ini masa kita cuba berikan sumbangan sebanyak yang termampu,” ujarnya. – UTUSAN










