PN fokus rakyat, bukan tumbangkan kerajaan - Utusan Malaysia

PN fokus rakyat, bukan tumbangkan kerajaan

AHMAD Faizal Azumu (kanan) melayan pengunjung pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersatu Perak di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Usaha menumbangkan kerajaan seperti yang didakwa bukan keutamaan pembangkang  sebaliknya tumpuan ialah membela rakyat.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,  semua pihak tidak seharusnya memberi tumpuan kepada dakwaan wujud gerakan menumbangkan kerajaan apatah lagi perkara tersebut hanya bersandarkan atas dakwaan ‘kononnya’ .

Menurutnya, lagipun proses menubuhkan kerajaan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan dan jika  itu berlaku maka seharusnya ia dibiarkan berjalan dengan aman

“Tiada gunanya jika negara bertukar kerajaan atau perdana menteri 80 kali dalam sepenggal kalau kepentingan rakyat tidak diberi keutamaan.

“Rakyat jauh lebih penting, seperti yang saya sebutkan kalau tukar kerajaan 80 kali pun, kalau rakyat masih hidup susah, masih tak ada makna.

“Itu lebih penting daripada nafsu pemimpin yang nak kekal kuasa ataupun mengejar kekuasaan, jadi Perikatan Nasional (PN) memberi fokus kepada rakyat, itu jelas jadi tak payah nak panjang-panjang cerita ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersatu Perak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan perlu bijaksana dalam menjalankan tanggunjawab dengan beri perhatian lebih kepada masalah rakyat terutama mengenai harga barang yang meningkat.

Katanya, sepatutnya pada hari raya, kerajaan cuba mencari jalan untuk menurunkan harga ayam, harga bekalan makanan bukannya menurunkan harga simen.

“(Menurunkan) harga simen kemudian. Harga simen kalau diturunkan pada hari raya, tak ada siapa nak buat rumah pada waktu orang buat rumah terbuka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, Ahli Parlimen daripada blok pembangkang setakat ini masih belum menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ini menyukarkan mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Kerajaan harus sedar peruntukan walaupun kepada Ahli Parlimen pembangkang bukan digunakan untuk politik tapi untuk kepentingan rakyat.

“Tiba masanya kita perlu berhenti berpolitik dan menitik beratkan perihal rakyat, itu yang perlu kita lakukan, tapi hari ini saya bimbang sebab terlalu nak berpolitik hingga mengakibatkan rakyat yang memerlukan bantuan tak dapat bantuan dengan secukupnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya