Peniaga kecil bertahan walau harga barang mentah naik

Peniaga kecil bertahan walau harga barang mentah naik

MUSA Hashim membakar ikan yang menjadi menu kegemaran pelanggan terdiri daripada pelajar IPT di kedainya di Pauh, Arau, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Di usia emasnya, Musa Hashim masih gigih bekerja di sebalik bahang panas arang api membakar ikan untuk para pelanggan di gerai kecilnya di depan pintu gerbang Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Pauh, di sini.

Musa yang sudah memasuki usia 71 tahun tidak pernah mengenal erti putus asa meneruskan perniagaan makanan sejak 20 tahun lalu walaupun untung tidak seberapa disebabkan kenaikan kos barangan ketika ini.

Disebabkan kos barangan yang semakin tinggi itu juga, kebanyakan peniaga kedai makanan kecil di kawasan berkenaan kadangkala hanya lepas modal dan cukup-cukup untuk menampung kehidupan seharian.

Bagi Musa, dia telah menyaksikan peningkatan harga barangan mentah saban tahun namun dalam masa sama warga emas tersebut masih mengekalkan harga berpatutan memandangkan kebanyakan pelanggannya terdiri dalam kalangan pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, sejak kebelakangan ini, peningkatan harga ikan dan arang turut dirasai memandangkan menu utama ikan temenung bakar yang dijual di gerainya itu sering menjadi pilihan para pelanggan.

“Rata-rata pelanggan tetap saya terdiri daripada pelajar IPT di sekitar Pauh dan saya tidak sampai hati untuk menaikkan harga.

“Harga makanan nasi ikan bakar dan jika pelanggan mengambil lauk ayam beserta air hanya serendah RM5 ke RM6 sahaja lazimnya,” katanya.

Musa berharap harga barangan mentah dapat dikawal memandangkan sejak kebelakangan ini semua barangan naik sekali gus membebankan para peniaga.

Sementara itu, warga emas berkenaan berkata, gerai ikan bakar tersebut sentiasa menjadi tumpuan para pelajar malah ada dalam kalangan bekas pelajar sentiasa datang menjamu selera.

“Kami masih mengekalkan harga menu yang sama malah ada antara pelajar yang sudah bergraduasi dan berkahwin masih datang dari jauh bersama keluarga untuk menikmati makanan di kedai saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN