Pengguna tidak perlu panik, bekalan gula masih mencukupi di Perlis - Utusan Malaysia

Pengguna tidak perlu panik, bekalan gula masih mencukupi di Perlis

Kerajaan disaran menaikkan cukai gula dalam usaha mengurangkan bilangan pesakit diabetes di Malaysia. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis mengakui sememangnya wujud pembelian panik dalam kalangan pengguna di sekitar negeri ini sejak semalam bagi mendapatkan bekalan gula.

Situasi itu berlaku disebabkan penularan khabar angin menerusi media sosial yang mendakwa bekalan gula sedia ada akan dihentikan berikutan terdapat pengeluaran gula putih premium baharu yang mana harganya lebih tinggi sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan pengguna

Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, walaupun permintaan yang diterima agak tinggi susulan penularan khabar angin itu, namun bekalan gula masih mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di negeri ini tanpa sebarang kenaikan harga.

“Penularan khabar angin itu menyebabkan timbul salah faham dalam kalangan pengguna sehingga menyebabkan mereka melakukan pembelian panik dan mendorong kepada gangguan bekalan di negeri ini.

“Seperti diumumkan Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini, jenis gula super atau gula putih premium masih belum berada di pasaran dan sebarang pengenalan gula baharu perlu mendapat kelulusan KPDN terlebih dahulu,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Pasar Raya NFS AMG Trading, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norazah berkata, isu bekalan tidak menjadi masalah berikutan empat pemborong sedia ada di negeri ini menerima gula daripada dua syarikat pengeluar utama iaitu MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR).

Katanya, sehingga semalam, pemborong gula di negeri ini telah menerima bekalan daripada dua syarikat pengeluar berkenaan dengan jumlah sebanyak 383,680 kilogram.

“Untuk rekod, harga kawalan runcit semasa bagi gula kasar pek satu kilogram adalah RM2.85 manakala gula hulus pula RM2.95,” katanya.

Dalam pada itu, Norazah berkata, peniaga juga tidak perlu mencatu jualan gula kepada pengguna dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong utama di negeri ini.

NORAZAH Jaapar (dua dari kanan) beramah-mesra dengan salah seorang pengguna yang mendapatkan bekalan gula di Pasar Raya Borong NFS AMG Trading, Arau, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMD

Katanya, purata gula yang dibekalkan di negeri ini kebiasaannya adalah sekitar 300,000 kilogram sebulan namun pada Mei ini, jumlah itu ditambah melebihi 380,000 kilogram berikutan daripada penutupan sementara kilang pengeluar di Kuala Nerang, Kedah yang perlu melakukan pengantian komponen alat ganti dan dijangka beroperasi semula pada Jun ini.

“Sebelum ini, bekalan gula juga mungkin sedikit terganggu disebabkan kita masih berada pada bulan perayaan yang turut mendorong kepada peningkatan permintaan daripada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, peniaga juga dinasihatkan tidak menaikkan harga gula sewenang-wenangnya dan menyorok bekalan berkenaan bagi menggelakkan tindakan diambil oleh KPDN.

“KPDN Perlis juga menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik memandangkan bekalan gula mencukupi dan mereka juga digalakkan untuk mendapatkan berita daripada sumber sahih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya