Peminat suntik semangat Jupiter terus beraksi

Peminat suntik semangat Jupiter terus beraksi

RIPDHO Utomo (tengah) yang mengetuai Pasukan Jupiter bersama pasukan aerobatiknya menggunakan pesawat KT-1B Turbo Propeller. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Setiap kali melihat gambar aksi aerobatik mereka yang dikongsi di media sosial menyuntik semangat pasukan dari negara seberang untuk terus beraksi pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).

Pasukan Jupiter yang juga pasukan persembahan Tentara Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) melakukan 10 aksi berbeza dengan enam buah pesawat KT-1B Turbo Propeller yang berwarna merah dan putih, simbolik kepada warna Sang Saka Merah Putih iaitu bendera negara tersebut.

Ketua pasukan aerobatik Jupiter, Leftenan Kolonel Ripdho Utomo berkata, penonton adalah pembakar semangat kepada pasukannya untuk beraksi.

“Kalau dahulu, kita hanya boleh berjumpa dengan peminat semasa hari terbuka dan mengagihkan cenderamata Jupiter, tetapi zaman kini sudah berubah.

“Apabila turun daripada pesawat dan lihat gambar dan video kami dikongsikan penonton ibarat menyuntik semangat untuk kami terus berusaha memberikan persembahan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, semalam.

Jelasnya, Jupiter menggunakan laman Facebook, Instagram dan Youtube untuk terus berkomunikasi dengan peminatnya.

Tambahnya, pasukan Jupiter mengambil masa selama 15 minit untuk melakukan 10 aksi aerobatik dan aksi yang paling menarik adalah ‘fall in love, di mana kesemua enam buah pesawat akan membuat aksi yang menghasilkan bentuk hati.

Sementara itu, Ripdho turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sentiasa menjemput pasukannya untuk melakukan persembahan semasa LIMA dan berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara.

Katanya, peluang berkenaan dapat digunakan untuk menonjolkan kebolehan pasukan aerobatik Indonesia ke pentas dunia.

Selain Ripdho yang bergelar Mohawk, pasukan Jupiter terdiri daripada Mejar Pnb I Gede Ngurah (Viper); Kapten Pnb Sang Made Yogi (Medved), Mejar Pnb Bayu Anugerah (Meerkat), Mejar Pnb Ferdian Habibi (Corbie), Mejar Pnb Idam Satria (Godham) dan Kapten Pnb I Putu Kedaton (Bhoma). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN