MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menempatkan anggota penguat kuasa di kawasan tumpuan pelancong di Jonker Walk, Banda Hilir di sini bagi memantau isu pembuangan sampah yang tidak mengikut waktu ditetapkan.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, sikap degil pemilik premis dan peniaga di situ yang meletakkan sampah di bahu jalan sebelum waktu dibenarkan iaitu pukul 12 tengah malam telah mencacatkan reputasi kawasan tersebut.
Menurutnya, sampah seperti sisa makanan, kertas, bekas minuman dan sebagainya didapati telah diletakkan terlalu awal iaitu sekitar pukul 8 malam, membuatkan pemandangan sekitar tercemar.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran yang mana penguat kuasa akan mengeluarkan kompaun antara RM250 hingga RM500.
“Saya lalu di Jonker Walk malam Ahad lalu dan amat terkejut melihat di sepanjang Lorong Hang Jebat segala sampah diletakkan di bahu jalan iaitu di laluan utama pelancong.
“Saya percaya sampah dengan sisa makanan dibuang oleh peniaga di Jonker Walk dan tidak terkecuali pemilik premis kafe, hotel, kedai cenderamata dan sebagainya di sepanjang laluan tersebut.
“Keadaan ini saya lihat berlaku setiap hujung minggu dan cuti kelepasan am apabila ramai pelancong dari dalam dan luar negara tertumpu di lokasi berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Shadan, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) telah bersetuju menyediakan motosikal roda tiga bagi mengangkut sampah-sampah yang dilonggok bermula pukul 7 malam pada setiap hujung minggu.
“Bagi sampah-sampah peniaga di kaki lima Jonker Walk ia akan dibersihkan dan dibuang oleh penganjur di situ,” katanya. – UTUSAN










