Pejuang belum terima surat rasmi penolakan PN - Utusan Malaysia

Pejuang belum terima surat rasmi penolakan PN

Pejuang PN
MOHD. SHAID ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih belum menerima surat atau pernyataan rasmi daripada pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung permohonannya untuk menyertai gabungan itu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Pejuang, Mohd. Shaid Rosli, makluman yang dibuat PN sebelum ini berhubung penolakan mereka untuk membenarkan partinya menyertai gabungan tersebut hanya diperolehi daripada laporan akhbar.

Katanya, bagaimanapun beliau mencadangkan kepada Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk membuat permohonan lagi sekali kepada PN untuk menyertai mereka.

“Kemungkinan besar kita akan buat permohonan sekali lagi kepada PN sebab tempoh hari hanya dikhabarkan melalui media, sedangkan kita tidak terima surat daripada PN mengatakan permintaan kita ditolak.

“Jadi, kita hendak tahu biar ada surat, jangan katakan tolak melalui media sahaja.

“Saya tak pasti (akan merayu) tetapi saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi memberikan pandangan dalam mesyuarat untuk presiden memikirkan semula, kita minta permohonan semula dan sebagainya,” katanya ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, hari ini.

Terdahulu, gabungan komponen Parti Bersatu, Pas dan Gerakan itu dilaporkan menolak penyertaan Pejuang untuk menjadi sebahagian daripada mereka seperti diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Mac lalu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas mesyuarat tersebut meneliti permohonan yang dikemukakan oleh Mukhriz.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram itu turut menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) sekiranya diberi ruang untuk terus menyandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Malah, beliau turut bersedia untuk menyokong parti itu sebagai simbolik kepada wakil orang Melayu dan menyeru masyarakat melakukan perkara sama untuk memastikan bangsa tidak berpecah-belah.

“Kita tak mahu orang Melayu berpecah, kita sedia maklum kekuatan Pejuang tidak begitu kuat dan kita tidak nampak penerimaan orang terhadap Pejuang walaupun pemimpinnya terdiri daripada mereka yang tidak kes rasuah, mahkamah, salah guna kuasa dan sebagainya.

“Kalau saya bertanding di DUN Jeram dan perkara itu menyebabkan perpecahan orang Melayu, maka saya rela tidak bertanding dan memberikan sokongan kepada parti Melayu itu sendiri iaitu PN,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya