Pejuang belum buat keputusan sertai PRN

Pejuang belum buat keputusan sertai PRN

DR. Mahathir Mohamad bersama Mukhriz Mahathir menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, Jitra di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum ada keputusan sama ada akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri atau sebaliknya yang mungkin bakal diadakan kira-kira dua bulan sahaja lagi.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pendirian mengenai perkara itu sedang dibincangkan kepimpinan parti dan satu pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi setelah mempunyai keputusan mengenainya.

Katanya, fokus Pejuang ketika ini adalah berkenaan penyertaan mereka dalam Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita belum buat keputusan. Apabila sudah buat keputusan nanti kita akan buat pengumuman. Apa yang penting pada waktu ini adalah penyertaan kami dalam Proklamasi Orang Melayu. Kita mendokong dan bersetuju dengan hasrat di sebalik proklamasi tersebut dan itu sebabnya ramai daripada ahli-ahli kita dah menandatangani proklamasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini, malam tadi.

Pada 21 Mac lalu, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) telah membuat keputusan menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri kepimpinan tertinggi komponen parti dalam gabungan itu.

Ketika ditanya sama ada masih terdapat perbincangan dengan PN yang dilakukan ketika ini sehingga menyebabkan keputusan mengenai penyertaan dalam PRN lambat dibuat, Mukhriz enggan mendedahkan perkara itu.

“Tak apa lambat ka, awai ka yang tu tunggu sat. Kita pun dalam proses untuk buat keputusan. Kami masih terbuka untuk bincang tapi seperti mana disaran oleh Tun (Dr. Mahathir) kita ikut jalur Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz secara jelas menyatakan Pejuang tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan atau pakatan yang turut disertai UMNO kerana parti itu terpalit dengan amalan kleptokrasi yang tidak selari dengan prinsip perjuangan Pejuang.

“Jadi kita boleh faham, ada pihak kita tak boleh ikut dan satu lagi walaupun Melayu tapi terpalit dengan kleptokrasi yang tu pun kami tak boleh. Saya dah nyatakan dulu kami berpegang teguh kepada prinsip di mana ada UMNO, di situ kami tak dak,” tegasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.