MELAKA: Pasar terapung menjadi produk pelancongan baharu yang bakal diperkenal Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), mulai tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, idea mewujudkannya adalah berdasarkan contoh yang terdapat di luar negara seperti di Bangkok, Thailand dan Bandung, Indonesia.
Katanya, pasar terapung di negara luar dilihat dapat menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke negara berkenaan.
Katanya, kelainan ditampilkan di pasar terapung yang bakal beroperasi di Sungai Melaka berhampiran Taman Lagenda dekat sini, membolehkan pelancong membeli pelbagai produk keluaran tempatan.
“Di Melaka kita cuba cari pendekatan berbeza dengan keutamaan menjual pelbagai produk keluaran usahawan negeri ini. Ada makanan masyarakat Portugis, Chetti, Baba dan Nyonya di atas bot termasuk jualan-jualan produk kering.
“Kelainan pasar terapung ini apabila kita membenarkan pelanggan dari darat boleh membeli dan bot Melaka River Cruise dapat berhenti bagi memberi peluang kepada orang ramai membeli barangan yang dijual di atas bot tersebut.
“Kita sasarkan pembukaan pasar terapung di Taman Lagenda tahun depan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” katanya selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPSPM di Pengkalan Rama di sini yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Menurut Murad, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat yang akan memajukan pasar terapung itu, membabitkan isu-isu teknikal termasuk kedalaman sungai di Taman Lagenda. – UTUSAN










