Musim kemarau bawa rezeki kepada penjual tembikai

Musim kemarau bawa rezeki kepada penjual tembikai

ZUHAIRI Hashim (kanan) dibantu rakannya menimbang buah tembikai yang dijualnya di Bandar Baru, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini memberi rezeki buat seorang peniaga apabila dapat menjual sebanyak 24 tan metrik tembikai jenis boci sehari.

Zuhairi Hashim, 34, berkata, bekalan tembikai diambil secara pukal dari ladang tembikai di Dabong, Tok Bali, Pasir Puteh dan Setiu, Terengganu itu dijual serendah 80 sen sekilogram bagi gred B manakala gred A RM1.20.

“Cuaca panas memberi limpahan rezeki kepada saya apabila buah berkenaan laris dibeli pelanggan antara 12 hingga 24 tan metrik setiap hari.

“Harga buah tembikai yang murah menyebabkan pelanggan sudah tidak takut hendak membeli. Jika dulu harga tembikai mahal apabila dijual pada harga RM4.50 sekilogram menyebabkan pelanggan berkira-kira untuk membelinya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zuhairi memberitahu, selain ingin mencari pendapatan, dia melebihkan niat untuk berbuat amal kepada pelanggannya.

Katanya, dia berniaga bersama isteri, adik-beradik serta saudara-maranya seawal pukul 8 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

“Ramai peminat membeli tembikai gred B kerana harganya lebih murah dan rasanya enak serta manis.

“Selain pelanggan dari daerah ini, kami mendapat tempahan luar. Baru-baru ini, pelanggan dari Sepang, Selangor memborong sebanyak lima tan metrik tembikai dan kami melakukan penghantaran sendiri,” ujarnya.

Zuhari berkata, selain pelanggan boleh datang sendiri ke gerai mereka, tempahan tembikai boleh dilakukan melalui laman sosial Facebook atau WhatsApp miliknya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×