PONTIAN: Penyair Hujung Selatan Benua Asia, Mohd. Rosli Bakir ditabalkan sebagai johan Sayembara Penulisan Puisi Makmur Johor 2021 anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan tajuk Sekeping Tanah Bertuah.
Manakala tempat kedua disandang oleh Rahimah Muda dengan puisi bertajuk Ikhtiar Nan Berani dan tempat ketiga Sukinah Yahya dengan memilih puisi bertajuk Johor Madani.
Menurut Pengerusi 1 PPJ, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, sebanyak 50 puisi menyertai pertandingan tersebut dengan penilai diketuai oleh Hamzah Hamdani yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka dan sekarang aktif bersama Gabungan Penulis Nasional (Gapena).
Katanya, PPJ mula mengadakan Sayembara Penulisan Puisi semenjak tahun 2005 bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam penulisan (puisi) supaya negeri ini tidak ketandusan pelapis pada masa depan.
“Namun sejak tahun 2014, Sayembara ini dijalankan dengan berfokus kepada tema-tema tertentu seperti Suara Hati Johor, Muafakat Johor, Harapan Johor dan Makmur Johor,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah kepada pemenang di Rumah Citra Benut, di sini semalam.
Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Ahli Parlimen Pontian.
Tambah Amiruddin, pemenang pertama menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua (RM700) dan ketiga (RM500) bersama sijil dan hadiah iringan, manakala sagu hati menerima RM300.
“Sayembara ini berjaya melahirkan seorang penulis muda iaitu Sukinah Yahya yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan ini,” ujarnya.
Katanya, sebagai organisasi yang menaungi penulis-penulis muda di negeri Johor, PPJ turut melancarkan tiga buah buku baharu iaitu Layar Juang, Kuntuman Keampunan dan Algojo (Mimpi Anak Pulau Terdepan). – UTUSAN










