Mayat lelaki ditemukan terapung di Sungai Tambun Tulang - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemukan terapung di Sungai Tambun Tulang

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berusaha menaikkan mayat seorang lelaki berusia sekitar 30-an yang ditemukan terapung di permukaan Sungai Tambun Tulang, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mayat seorang lelaki berusia sekitar 30-an ditemukan dalam keadaan terapung di permukaan Sungai Tambun Tulang, di sini hari ini.

Buat masa ini, butiran maklumat mengenai mangsa terlibat masih belum dapat dikenal pasti berikutan mayat lelaki tersebut ditemui tanpa sebarang identiti.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, anggotanya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah bergegas ke lokasi terlibat pada pukul 3 petang selepas menerima maklumat mengenai penemuan itu dan mendapati terdapat mayat seorang lelaki terapung di dalam sungai tersebut.

“Mayat lelaki itu ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang berwarna kuning,” katanya.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, anggota JBPM telah bertindak membawa naik mayat berkenaan ke tebing sungai dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang kenderaan di sekitar lokasi sungai tersebut.

“Identiti mangsa juga tidak dapat disahkan memandangkan tiada kad pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, sewaktu mayat berkenaan dinaikkan ke tebing sungai itu, tiada mana-mana penduduk setempat mengenali mangsa berkenaan.

Tambahnya, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah bagi menjalani bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan polis memohon kerjasama bagi sesiapa yang kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi Balai Polis Simpang Empat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya