Masalah kurang parkir di Hospital Teluk Intan selesai - Utusan Malaysia

Masalah kurang parkir di Hospital Teluk Intan selesai

WOO Kah Leong (tengah) ketika melawat keadaan tapak letak kereta Hospital Teluk Intan yang berdepan pelbagai masalah termasuk kekurangan petak meletak kenderaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Isu kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Teluk Intan dekat sini akan diatasi segera.

Demikian jaminan disuarakan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina negeri.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga akan memohon peruntukan hampir RM1 juta untuk projek naik taraf kawasan parkir hospital berkenaan.

Menurutnya, untuk menyelesaikan masalah kekurangan parkir di situ, beliau dan Kor Ming telah melawat hospital tersebut baru-baru ini.

Katanya, masalah itu merupakan isu yang menjadi rungutan rakyat selama ini.

“Hospital Teluk Intan hanya mempunyai tempat parkir yang terhad iaitu tidak sampai 300 petak namun menerima keha­diran pesakit sebanyak 650 orang dan 1,000 staf hospital dalam sehari.

“Keadaan ini amat teruk dan menyebabkan banyak pesakit terpaksa meletakkan kenderaan di Jalan Changkat Jong sebelum memasuki kawasan hospital.

“Hospital Teluk Intan telah mengemukakan cadangan pelan untuk menambah tempat parkir yang akan memerlukan dana dalam lingkungan RM1 juta.

“Kerja-kerja naik taraf melibatkan tapak belakang wad yang kini berlubang, berlaku mendapan tanah dan tidak mesra pe­ngunjung dan diharapkan akan menambahkan lagi 300 petak parkir selepas projek dilaksanakan,” katanya.

Kah Leong berkata, beliau telah berjumpa dengan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim baru-baru ini.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri memberi komitmen menyelesaikan masalah tersebut untuk kemudahan rakyat.

Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai keluhan pengguna perkhidmatan di Hospital Teluk Intan yang berdepan masalah tempat letak kenderaan berikutan kekura­ngan parkir, menyebabkan mereka meletakkan kereta di bahu jalan dan bimbang disaman pihak berkuasa atau boleh menyebabkan kemalangan.

Masalah itu berpunca daripada peningkatan orang ramai mendapatkan perkhidmatan rawatan di hospital itu.

Ia disebabkan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan dari luar daerah ini antaranya Tapah, Bidor, Bagan Datuk, Kampung Gajah dan dari sekitar Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya