MA63: Penurunan kuasa autonomi bidang pendidikan, kesihatan dibincang

MA63: Penurunan kuasa autonomi bidang pendidikan, kesihatan dibincang

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sedang meneliti keperluan menurunkan sebahagian kuasa autonomi dalam pentadbiran bagi sektor pendidikan dan kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa ini semua perancangan berhubung pendidikan dan kesihatan dilaksanakan di ibu pejabat di Putrajaya termasuk pengambilan guru dan pegawai kesihatan.

Malah, apabila tawaran dibuka kepada pegawai-pegawai di Semenanjung, mereka tidak mahu berpindah atau bertugas di Sabah dan Sarawak kerana tempat mereka bertugas terletak di pedalaman.

“Jadi, pada akhirnya jawatan tersebut tidak diisi kerana tiada pegawai yang mahu bertugas atau berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Kita fikir kalau dapat dikembalikan (kuasa) dalam bidang pentadbiran bagi sektor pendidikan dan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak khususnya, pengambilan pekerja jadi, kita dapat menentukan siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut. Kekosongan jawatan mesti diisi dan mereka mesti bertugas di Sabah dan Sarawak.

“Apabila penurunan kuasa diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak atau agensi dibawahnya, kerajaan negeri boleh merancang keseluruhan aspek kesihatan dan pendidikan termasuk pembinaan hospital atau sekolah.

“Sekarang nak buat hospital semua direncana di Kuala Lumpur jadi, biarlah kerajaan negeri diberi kuasa merancang keseluruhan aspek pendidikan dan kesihatan, keutamaan ditentukan oleh negeri,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan perbincangan mengenai MA63.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri, di sini semalam.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, perkara tersebut antara salah satu pendekatan yang sedang dibincang dan diperincikan.

Kini, anggota jawatankuasa terlibat sedang menunggu kaedah atau terma-terma yang akan dibentang oleh kerajaan Sabah dan Sarawak untuk diperincikan di peringkat Persekutuan.

Fadillah berkata, perkara lain yang perlu dimuktamadkan adalah isu pengambilan tanah oleh agensi persekutuan dan menerusi perundingan yang dibuat, kerajaan persekutuan bersetuju mengembalikan semula tanah yang telah dibayar pampasan namun, tidak dimajukan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Sekiranya sebahagian tanah itu telah dibangunkan tapi projek tersebut terbiar maka, tanah itu akan dikembalikan dengan mengambil kira kos yang telah dibelanjakan bagi pembangunan infrastruktur.

“Perkara ini telah dipersetujui cuma menunggu mesyuarat teknikal yang akan dibuat. Itu dah ditentukan tapi, perkara ini tertangguh sebab Kementerian Kewangan belum dapat muktamadkan beberapa perkara,” katanya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.