Lelaki bunuh, bakar kekasih hamil didakwa esok - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh, bakar kekasih hamil didakwa esok

Reman lelaki
LELAKI suspek bunuh wanita hamil dibawa ke mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Kuala Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seorang lelaki yang disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar di sini, akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pendakwaan ke atas suspek akan dilakukan di Mahkamah Majistret Sungai Besar.

“OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes bunuh berkenaan akan dituduh di mahkamah tersebut esok. Pendakwaan ke atas suspek dijangkakan pada sebelah pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor membenarkan reman ke atas lelaki berusia 20 tahun itu disambung selama lima hari sehingga Jumaat ini berhubung siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tindakan tidak berperikemanusian itu dilakukan suspek selama dua hari bermula Isnin minggu lalu selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa yang berusia 21 tahun.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa.

Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa, kira-kira pukul 8.15 pagi Selasa minggu lalu.

Siasatan mendapati wanita yang hamil empat bulan itu dibawa suspek menaiki sebuah kereta sebelum dibunuh dan dibakar di kebun tersebut, kira-kira pukul 10 malam.

Keluarga mangsa menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan kes itu.

Mereka turut berharap si pelaku mendapat balasan setimpal mengikut undang-undang dan jenazah anak kelima daripada enam beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan Sungai Besar, Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya