KUALA NERUS: Koperasi Usahawan Groom Big Terengganu Berhad (Kuganu) menyasarkan jualan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) sebanyak RM350,000 pada tahun ini berbanding RM50,000 yang direkodkan tahun lalu.
Pengerusi Kuganu, Norlukmal Mat Ghani berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu hasil beberapa strategi yang diatur untuk semua usahawan yang bernaung di bawah koperasi tersebut.
Menurutnya, ketika ini, terdapat lebih 50 produk didaftarkan kod unik (Stock Keeping Unit-SKU) di Hab Kuganu yang terletak di Kompleks Usahawan Terengganu dekat Kubang Jela, Manir.
Katanya, pada tahun ini, Kuganu menyasarkan penambahan sehingga 100 produk keluaran usahawan IKS terutamanya dari negeri ini.
“Walaupun baru empat tahun Kuganu ditubuhkan, banyak manfaat diperoleh usahawan, malah dividen keuntungan koperasi telah diberikan tahun lalu buat kali pertama dan kita menjangkakan nilai dividen pada tahun ini akan lebih baik,” katanya pada sambutan Aidilfitri Kuganu di sini semalam.
Pada majlis itu, tujuh memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Kuganu dan beberapa syarikat untuk membantu dalam aspek pemasaran, pengurusan serta hab pengumpulan dan produk IKS.
Norlukmal memberitahu, Kuganu turut bekerjasama dengan hab-hab negeri malah produk KUGO juga telah berada di Singapura dan Brunei.
“Kita juga membantu usahawan untuk mendapatkan pensijilan pengesahan halal, pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), Sistem Pengurusan Kualiti ISO, pendaftaran penjenamaan dan pemasaran serta khidmat pakar dalam pendigitalan bisnes,” jelasnya. – UTUSAN










