Komitmen tarik pelaburan berkualiti, sedia peluang pekerjaan berpendapatan tinggi - PM

Komitmen tarik pelaburan berkualiti, sedia peluang pekerjaan berpendapatan tinggi – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tatakelola serta mempertegak keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia, selaras dengan visi Malaysia Madani.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion.

“Kerajaan komited meningkatkan lagi usaha mempermudahkan aktiviti perniagaan dan menyokong pelaburan langsung domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.

Menurut Anwar, Kabinet menumpukan usaha untuk mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan bagi aktiviti perniagaan untuk terus menggalakkan pertumbuhan domestik antaranya permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran.

Kata beliau, dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).

Oleh itu, Perdana Menteri menjemput kumpulan perniagaan untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mempelawa orang ramai untuk berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan www.mof.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.