Komander baharu ESSCOM mula tugas hari ini

Komander baharu ESSCOM mula tugas hari ini

MOHD. ALI TAMBY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang baharu Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby memulakan tugas pada hari ini.

Mohd. Ali dilantik sebagai Komander ESSCOM bagi menggantikan Deputi Komisioner Datuk Hamzah Ahmad yang bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sebelum ini, Mohd. Ali adalah Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM sejak 2019 dan telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun.

Pengalamannya yang luas serta kemahiran yang ada diyakini mampu memberi suntikan baharu serta menerajui ESSCOM ke tahap yang lebih cemerlang.

Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak dan pernah berkhidmat sebagai pegawai pengiring kepada pemimpin negara.

Beliau berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan memulakan kerjaya dalam PDRM pada tahun 1988. Beliau menyertai Pasukan Elit PDRM iaitu Unit Tindakhas (UTK) selama 25 tahun.

Majlis serah terima tugas Komander ESSCOM secara rasmi akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Selain jawatan Komander, ESSCOM turut menerima beberapa pertukaran Ketua Staf iaitu Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohamad Pajeri Ali sebagai Ketua Staf Pasukan Siasatan Khas/Teknikal; SAC Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa sebagai Ketua Staf Pasukan Khas; dan SAC Azli Amin sebagai Ketua Staf Perisikan.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya