BRUSSELS: Lima anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menolak cadangan membelanjakan 0.25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka untuk memberi bantuan ketenteraan kepada Ukraine, menurut laporan The Telegraph.
Negara-negara itu ialah United Kingdom (UK), Perancis, Sepanyol, Itali dan Kanada.
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte dilaporkan berharap pembiayaan wajib untuk Kyiv dapat diluluskan pada sidang kemuncak blok itu di Ankara, Turkiye pada 7 hingga 8 Julai.
Namun, seorang sumber dalaman NATO dipetik berkata bahawa UK, Perancis, Sepanyol, Itali dan Kanada tidak begitu bersemangat terhadap idea tersebut.
Daripada 32 negara anggota, hanya tujuh negara menyokong cadangan itu, kesemuanya sudah pun membelanjakan sekurang-kurangnya 0.25 peratus KDNK untuk membantu Ukraine, menurut laporan itu.
Berdasarkan data Institut Kiel, negara seperti Belanda, Poland dan negara-negara Nordik dan Baltik kini antara yang membelanjakan sekurang-kurangnya 0.25 peratus KDNK mereka untuk membekalkan senjata kepada Kyiv.
Minggu lalu, Rutte mengaku bahawa pelan itu tidak mendapat sokongan sebulat suara dalam NATO, yang diperlukan untuk ia diluluskan.
“Saya tidak fikir cadangan ini akan dibentangkan di ibu negara Turkiye,” katanya kepada wartawan.
Pembiayaan wajib itu pada asalnya bertujuan menjadi isyarat komitmen berterusan negara anggota Eropah terhadap Ukraine, selepas bantuan Amerika Syarikat (AS) kepada kerajaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dilaporkan berkurangan di bawah Presiden Donald Trump. – AGENSI










