MUTAKHIR ini, gelombang perbezaan pandangan dalam PKR semakin terserlah dan tidak lagi dapat disorokkan sepenuhnya.
Perkembangan ini menunjukkan wujudnya perbezaan pendapat yang ketara dalam kalangan ahli, khususnya terhadap hala tuju kepimpinan semasa.
Lapan pemimpin Majlis Kepimpinan Mahasiswa (MKM) dilihat mengambil keputusan untuk menyuarakan pendirian secara terbuka selepas didakwa hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun terdapat usaha untuk meredakan keadaan, termasuk penjelasan oleh Setiausaha Agung MKM, namun pendirian segelintir ahli yang tampil dalam sidang media baru-baru ini tetap mencerminkan kebimbangan yang sedang berlaku dalam organisasi tersebut.
Dalam masa sama, terdapat juga suara yang mengkritik pendekatan sesetengah pihak yang dilihat kurang aktif dalam menyuarakan pandangan secara konstruktif.
Perbezaan ini menunjukkan ruang perbincangan dalam parti masih terbuka, namun memerlukan pendekatan yang lebih matang dan berhemah.
Dalam konteks yang lebih luas, isu hubungan antara dasar kerajaan dan institusi raja-raja Melayu turut menjadi perhatian.
Baru-baru ini Sultan Selangor menzahirkan pandangan berkaitan isu penternakan babi di negeri tersebut, yang menekankan keperluan menjaga sensitiviti masyarakat setempat, keseimbangan dasar pentadbiran negeri serta berkait soal kesihatan.
Susulan itu, pelbagai reaksi timbul dalam ruang awam, termasuk perbincangan mengenai hubungan antara nasihat istana dan pelaksanaan dasar kerajaan. Namun, dalam sistem Raja Berperlembagaan, setiap pihak sewajarnya menghormati peranan institusi masing-masing dalam kerangka Perlembagaan negara.
Pada masa sama, prinsip Rukun Negara yang menekankan kesetiaan kepada raja dan keluhuran perlembagaan perlu terus dijadikan asas dalam apa jua perbezaan pandangan politik.
Akhirnya, perbezaan pandangan dalam politik adalah sesuatu yang wajar dalam sistem demokrasi. Namun ia perlu ditangani dengan hikmah, adab dan semangat perpaduan agar tidak menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara yang telah lama dibina bersama. – UTUSAN
WALI TOK SONGEI
Pulau Pinang










