Kes tuntutan palsu Azlan Man dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Kes tuntutan palsu Azlan Man dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

AZLAN Man (dua dari kanan) kelihatan ceria sewaktu hadir ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis, hari ini, bagi sebutan semula kes pendakwaan tuntutan palsu yang dihadapi beliau. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mahkamah Sesyen Kangar hari ini mengarahkan agar kes tuntutan palsu membabitkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat menerusi sebutan semula kes berkenaan yang berlangsung di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur memohon agar kes membabitkan lima pertuduhan tuntutan palsu dihadapi tertuduh dapat dibicarakan secara bersama dengan kes di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pihak pendakwaan menyatakan alasan penggabungan pendakwaan itu adalah berikutan kes berkenaan adalah membabitkan saksi dan siasatan yang sama.

Peguam tertuduh, Burhanudeen Abdul Wahid menyatakan bahawa anak guamnya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan dikemukakan oleh pihak pendakwaan itu.

Mahkamah kemudiannya bersetuju dengan permohonan tersebut dan kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan secara bersama pada 9 Jun nanti.

Pada 10 April lalu, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.185 juta.

Beliau bagaimana mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan pertuduhan berkenaan.

Azlan selaku Menteri Besar Perlis didakwa telah mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London.

Beliau didakwa menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan tersebut oleh beliau.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada 12 April, Azlan sekali lagi mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta.

Mengikut pertuduhan, Azlan menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM208,339.9 ,RM196,651, RM224,404.4, RM222,811.95 dan RM207,468 Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel & Tours Sdn Bhd menerusi wang tunai dan empat cek yang dimasukkan ke akaun Maybank serta CIMB milik tertuduh.

Pendakwaan bagi kes ini adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya