Kes tiada kaitan isu kalimah Allah, cuma isu arahan pentadbiran bercanggah

Kes tiada kaitan isu kalimah Allah, cuma isu arahan pentadbiran bercanggah

SAIFUDDIN Nasution Ismail dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 Jabatan Imigresen di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan kalimah Allah dan empat perkataan lain masih kekal eksklusif milik umat Islam, malah tidak boleh digunakan penganut agama lain untuk ajaran mereka.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai mengulas tindakan kerajaan menarik balik rayuan keputusan pada 18 April lalu.

Bahkan beliau mengulangi penghakiman mahkamah tersebut yang merujuk kes itu lebih kepada perihal arahan pentadbiran berhubung rampasan bahan penerbitan semata-mata.

“Jika dibaca balik alasan hakim, dia cuma sentuh isu bahan dirampas oleh pihak kastam adalah salah dan bukan pun isu kalimah Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang anjuran Jabatan Imigresen Malaysia 2022 di sini hari ini,

Semalam, media melaporkan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan notis pemberhentian rayuan kes itu yang dimohon Jabatan Peguam Negara yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan proses berkenaan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Berita tersebut mencetuskan kegemparan umat Islam yang marah serta bimbang kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat akan bebas dieksploitasi atau dikelirukan agama lain.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, ramai mungkin salah faham dengan alasan penghakiman yang merujuk tuntutan seorang wanita terhadap rampasan bahan sahaja.

“Mahkamah itu melalui penghakimannya setebal 90 muka itu memang tidak memutuskan berkaitan agama secara spesifik dan cuma lebih kepada soal perundangan sivil,” jelasnya.

Keputusan mahkamah turut diperhalusi KDN yang mendapati alasan kekalahan kerajaan disebabkan ada percanggahan dengan keputusan Kabinet yang dibuat pada 19 Mei 1986.

Ia ujarnya, berbeza daripada Arahan Pentadbiran KDN yang dikeluarkan pada 5 Disember 1986 dan kes itu juga konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014.

Justeru kata beliau, belajar daripada penghakiman itu, KDN akan mengemas kini arahan lama tersebut agar selari balik keputusan Kabinet yang sudah diputuskan 37 tahun lepas.

Langkah itu juga akan memastikan Arahan Pentadbiran yang bakal diguna pakai semua badan penguatkuasaan kelak selaras peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sambil memberi jaminan umat Islam tidak perlu risau dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan itu, Saifuddin Nasution berkata, KDN konsisten melindungi agama tersebut.

“Pendirian kami tetap memperakui ketetapan enakmen Islam setiap negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu agar dasar sedia ada terus kekal,” tegas beliau.

Malahan ujarnya, KDN komited mempertahankan kepentingan Islam, orang Melayu institusi beraja termasuk kalimah Allah yang sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau optimis, Arahan Pentadbiran yang baharu bakal memastikan bukan Islam tidak boleh menyalahgunakan sebarang syiar Islam dalam penerbitan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.