KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperhalusi cadangan untuk membolehkan anggota Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggunakan senjata api semasa bertugas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ada kewajaran untuk dipertimbangkan penggunaan senjata oleh AKPS dan cadangan tersebut sedang diperhalusi di peringkat kementerian.
“Saya sedang menunggu maklum balas daripada Ketua Setiausaha KDN, kemudian baru kita akan lalui proses selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Beliau hadir bagi merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Malaysia Border Guard (Veteran ATM) 2026 di Maktab Penjara Malaysia.
Turut hadir, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, 48 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilantik menyertai Pengawal Sempadan Malaysia (MBG) akan ditempatkan di tiga pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang dan Ibu Pejabat AKPS.
Beliau berkata, lantikan kumpulan pertama MBG itu secara kontrak selama satu tahun dan ia boleh diperbaharui.
“Arahan saya kepada Datuk Shuhaily mudah sahaja, bajet RM8 juta kita sudah usahakan di peringkat Parlimen, angka pun kita sudah tahu 220 orang. Sekarang baru April, kita ada lapan bulan berbaki.
“Jadi, arahannya adalah sempurnakan dan penuhi kelulusan itu. Barulah nanti saya, Ketua Setiausaha dan sebagainya apabila dialog belanjawan hujung tahun dengan Kementerian Kewangan, kami boleh tunjuk yang diluluskan pada tahun lepas, kita sudah penuhi,” katanya. – UTUSAN










