GUA MUSANG: Kes jenayah membabitkan masyarakat Orang Asli di kawasan penempatan mereka di negeri ini masih dikategorikan terpencil apabila hanya 10 kes berlaku dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah kes berkenaan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kes penyalahgunaan dadah.
Katanya, hanya tiga kes masing-masing di bawah Seksyen 506, Seksyen 380 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan berlaku pada 2020.
“Pada 2021, lima kes masing-masing dua untuk Seksyen 457 dan Seksyen 378B Kanun Keseksaan dan satu kes untuk Seksyen 323 Kanun Keseksaan dilaporkan.
“Selain itu, hanya dua kes di bawah Seksyen 435 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada tahun lalu dan tiada kes jenayah dilaporkan membabitkan Orang Asli pada tahun ini,” katanya ketika hadir menyantuni penduduk Orang Asli dalam program Community Policing di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini hari ini.
Seramai 110 Keluarga Isi Rumah (KIR) di Kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang yang terdiri daripada suku kaum Bateq dan Mendriq di sini menerima bantuan bakul makanan dalam program itu.
Muhamad Zaki memberitahu, beliau berpuas hati dengan tahap keselamatan penduduk Orang Asli di negeri ini dan berharap hubungan penduduk dan pihak polis akan terus erat dan saling bekerjasama.
Katanya, pihak polis akan mengawal dan sentiasa berhubung dengan penduduk Orang Asli terutama Tok Batin dan sentiasa mendengar dan memberi nasihat dalam menangani jenayah.
“Sebagai contoh, kes seksual sumbang mahram. Kita percaya sesetengah mangsa ini tidak mengetahui apa itu sumbang mahram dan jenayah seksual. Jadi, dengan mendekati penduduk di sini kita cuba jelaskan supaya ibu bapa lebih melihat dan menjaga menjaga anak-anak mereka.
“Program pada hari ini dapat memberi kesan yang baik kepada penduduk dan kita dapat mendekati mereka untuk mendengar masalah dan memberi nasihat,” jelasnya. – UTUSAN










