Kes buli di sekolah, polis siasat kemungkinan wujud penglibatan kongsi gelap - Utusan Malaysia

Kes buli di sekolah, polis siasat kemungkinan wujud penglibatan kongsi gelap

KHAW Kok Chin (kiri) memeriksa barisan pada majlis perhimpunan bulanan dan amanat Ketua Polis Pulau Pinang di IPK Pulau Pinang, di George Town, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis turut menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan kongsi gelap membabitkan kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth dan sebuah institusi menengah di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Balik Pulau di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, polis akan mengambil tindakan terhadap kongsi gelap sekiranya didapati wujud penglibatan mereka dalam kes tersebut.

”Kes berkaitan dengan buli di sekolah memang tangkapan telah dibuat dan polis telah memberi jaminan seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

“Siasatan juga menjurus kepada kongsi gelap sama ada mereka berada di belakang atau pun sebaliknya. Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi gelap,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Kok Chin, polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Sebelum ini, tular di media sosial video pergaduhan membabitkan pelajar di dalam tandas sebuah sekolah menengah di Buterworth, dekat sini.

Susulan kejadian itu, polis menahan sembilan remaja lelaki di Butterworth bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang juga pelajar sekolah itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Dalam kes berasingan, lima pelajar tingkatan lima sebuah institusi pendidikan menengah di bawah Mara ditahan untuk membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga di sekolah berkenaan Khamis lalu.

Kesemua remaja lelaki berusia 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan.

Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencederakan orang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya