Kerajaan perlu kawal selia telur omega yang tidak diakreditasi

Kerajaan perlu kawal selia telur omega yang tidak diakreditasi

MELALUI penghasilan telur omega maka ladang-ladang pengeluar telur boleh mengelak kawalan harga kerajaan dan menetapkan harga telur omega masing-masing tanpa diselia dan dipantau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu bekalan te­lur terus menghantui pengguna di negara ini dengan ladang-ladang pengeluar berlumba-lumba mencatu pengeluaran table egg atau telur biasa gred A, B, C dan D sebaliknya berlumba-lumba menghasilkan designer egg seperti telur omega.

Sumber sebuah ladang pe­nelur yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, meskipun data menunjukkan bekalan itu mencukupi, tetapi realitinya banyak telur di pasaran sekarang bukan dari jenis table egg.

Kata sumber itu, maklumat diperolehi daripada ladang-la­dang telur utama mendapati agenda mereka mencatu pengeluaran table egg kerana perniagaan telur jenis itu tidak me­nguntungkan akibat harga dedak dan kos operasi lain yang tinggi.

Sebaliknya kata sumber, me­lalui penghasilan telur omega maka ladang-ladang pengeluar telur boleh mengelak kawalan harga kerajaan dan menetapkan harga telur omega masing-masing tanpa diselia dan dipantau.

Justeru, kata sumber, sudah tiba masanya kerajaan bertegas terhadap komplot sebegini yang mengeksploitasi kelompo­ngan sistem, malah perlu segera menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memberi akreditasi kepada telur-telur jenis omega yang dihasilkan.

“Jika kementerian atau agensi seperti MAFI atau JPV tidak mempunyai fasiliti bagi me­ngawal selia, memantau dan mengakreditasi ketulenan telur omega, maka kerajaan mungkin boleh melantik pihak ketiga untuk memantaunya seperti makmal-makmal swasta.

“Sebab telur yang dijenamakan ini seperti omega, ia terkeluar daripada kawalan harga. Jadi, kebanyakan syarikat sampai mencatu pengeluaran telur biasa sebanyak 30 hingga 40 peratus untuk menghasilkan telur omega.

“Kesannya, telur biasa gred A, B, C dan D akan semakin kurang. Tapi jika lihat data, kita akan kata cukup, walhal dalam pasaran telur yang banyak adalah jenis telur omega,” kata sumber.

Sumber berkata, berdasarkan libat urus bersama ladang-ladang telur lain, didapati terdapat dua ladang telur terbesar di negara ini mencatu sehingga 50 peratus pengeluaran telur biasa gred A, B, C dan D sebaliknya berlumba-lumba mengeluarkan telur omega untuk pasaran domestik serta tujuan eksport ke Singapura.

Lebih mengecewakan, sumber berkata, kerajaan langsung tidak bertindak menyekat pe­ngeluaran telur omega yang bukan saja mahal dari segi harga, malah tiada sebarang akreditasi mengesahkan ketulenan nutrisi seperti didakwa pengeluar telur tersebut.

“Tiada tindakan apa-apa dari pihak kerajaan untuk mengawal dan menyekatnya. Maklumat yang saya dapat, ada dua syarikat yang paling banyak mengeluarkan telur omega.

“Ladang telur mereka me­ngeluarkan lebih 50 peratus telur omega sedangkan kedua-dua syarikat ini adalah penge­luar ayam terbesar,” kata sumber lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN