Kenakan caj RM250 bagi perkhidmatan pembantu rumah haram

Sindiket tawarkan khidmat pembantu rumah tanpa permit dengan caj RM150 hingga RM250

KEGIATAN sindiket menawarkan perkhidmatan pembantu rumah secara tidak sah tumpas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menawarkan bayaran sekitar RM150 hingga RM250 sehari bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan secara tidak sah.

Itu caj yang dikenakan satu sindiket yang mengeksploitasi warga asing untuk menjadi pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

Kegiatan yang didalangi warga asing dan rakyat tempatan itu terbongkar selepas satu operasi khas yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 16 Mei lalu.

RUSLIN JUSOH

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula pada pukul 7 malam melibatkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya di dua buah premis di sekitar Temerloh, Pahang.

Menurut beliau, operasi tersebut berjaya menyelamatkan 10 orang wanita warga Indonesia berumur 23 hingga 50 tahun yang memiliki pas lawatan sosial (PLS) tamat tempoh.

“Kesemua yang diselamatkan dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

“Dalam operasi itu, seorang wanita warga Indonesia berumur lingkungan 30 tahun yang dipercayai sebagai penjaga kepada semua mangsa dan memiliki PLS yang telah tamat tempoh juga ditahan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ruslin, serbuan kedua telah dilakukan di sebuah premis agensi pekerjaan kira-kira pukul 8 malam dan seorang wanita berusia 40 tahun telah ditahan.

Ujar beliau, wanita tersebut merupakan pemilik syarikat agensi pekerjaan yang membawa masuk kesemua warga asing terbabit dan dipercayai menguruskan sindiket ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan wanita warga asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang telah ditentukan pihak sindiket.

“Pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu akan menghubungi agensi pekerjaan, seterusnya mengatur tarikh dan waktu bekerja termasuk menghantar serta mengambil mangsa setelah selesai bertugas,” ujarnya.

Ruslin berkata, melalui pengakuan lisan daripada kesemua mangsa, mereka tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket terbabit.

Jelasnya, kebebasan mangsa juga turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit bagi menghubungi ahli keluarga di negara asal mereka.

“Sindiket beroperasi sejak lebih dua tahun itu dipercayai mengaut keuntungan RM900,000 setahun, hasil bayaran bagi mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan serta siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan 1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Wanita tempatan yang juga pemilik agensi pekerjaan yang ditahan itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai menjalani soal siasat.

“JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya