PETALING JAYA: Kejatuhan drastik mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang minggu lalu pada paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini dikhuatiri meningkatkan kadar inflasi, seterusnya meningkatkan harga barangan makanan dan minuman.
Lebih membimbangkan, Malaysia bukan lagi menjadi pilihan utama pelabur asing untuk menjalankan urusniaga berbanding tiga negara ASEAN iaitu Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Selain dasar tiga negara itu dilihat lebih konsisten berbanding Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), ia juga berkait rapat dengan persengketaan ahli-ahli politik sehingga membawa kepada ketidakstabilan politik sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, semua pihak sudah maklum kejatuhan ringgit disebabkan faktor luar negara, namun ia harus diuruskan dengan cepat dan strategik.
Beliau berkata, tindakan pantas Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan diperlukan untuk mengelakkan situasi bertambah merisaukan.
“Sekiranya dibiarkan kepada kuasa pasaran menentukan hala tuju, ditakuti akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.
“Kepada pengeksport mungkin ini masa terbaik untuk mengaut keuntungan, tetapi untuk barang-barang yang diimport terutamanya barang makanan hampir RM55 bilion hingga RM60 bilion setahun, kejatuhan ringgit akan membebankan dan meningkatkan kadar inflasi terutama inflasi teras iaitu berkenaan harga barang makanan dan minuman.
“Oleh itu, harga barang perlu distabilkan, begitu juga nilai mata wang supaya mudah untuk masyarakat peniaga mahupun pengguna membuat perancangan tanpa kejutan yang tidak dapat ditangani,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini akhbar ini melaporkan, ringgit terus jatuh dan mencecah RM4.6 berbanding dolar Amerika (AS) iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Bagaimanapun Mingguan Malaysia semalam melaporkan, penganalisis ekonomi berpendapat, sekarang bukan masa yang sesuai menambat mata wang ringgit seperti pernah dilakukan ketika krisis kewangan Asia pada 1997 kerana ia bakal mengheret negara kepada ketidaktentuan pasaran kewangan dan ekonomi.
Ini kerana tambatan mata wang itu mempunyai risiko dan bukan langkah terbaik untuk ekonomi Malaysia.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, kecekapan pengurusan kerajaan dan BNM sudah pasti dapat memberikan keyakinan juga kepada para pelabur kepada Malaysia.
Katanya, ini kerana para pelabur tidak mungkin mahu melabur di negara yang nilai mata wangnya terus jatuh, kerana ia akan memberikan kesan kepada pulangan pelaburan dan kerugian dari segi mata wang asing sewaktu penukaran nanti.
“Koordinasi mata wang ringgit perlu dilakukan secepat mungkin seperti memastikan pembayaran eksport dalam mata wang asing ditukar secepatnya ke dalam ringgit.
“Kedua, memastikan pulangan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di luar negara dibawa peluang untuk menguatkan nilai mata wang.
“Ketiga, memastikan pengurangan jumlah import dan menaikkan jumlah eksport untuk memastikan lebihan dagangan negara berterusan,” katanya.
Beliau menambah, untuk langkah jangka panjang, simpanan atau rizab BNM juga mesti dipelbagaikan jenis mata wang asing seperti yang dilakukan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
“Kita boleh mengkaji dan belajar bagaimana pihak MAS Singapura berjaya menguruskan mata wangnya yang terus kukuh dan lebih seimbang dengan pengukuhan mata wang dolar AS.
“Selain itu, rizab juga boleh dikembangkan dengan penambahan emas dan perak sebagai komoditi logam yang sentiasa bertindak sebagai pelaburan yang lebih tinggi dari kadar inflasi,” katanya.
Mengenai kegagalan negara menarik FDI, Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr. Oh Ei Sun berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa tiga negara ASEAN iaitu Vietnam, Indonesia dan Filipina mengatasi Malaysia dalam menarik pelabur asing.
“Puncanya? Dasar kita kerap berubah walaupun dalam kerajaan yang sama. Malah, pekerja kita juga tidak dilihat sebagai mereka yang bekerja keras seperti negara jiran itu.
“Misalnya, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang banyak sangat berubah-ubah. Sehingga kini warga asing juga tidak tahu apa polisi terkini, dan pesertanya kebanyakan semua merungut.
“Namun Vietnam, Indonesia dan Filipina menjadi pilihan FDI sebab dasar yang konsisten, buruh yang lebih murah dan rajin serta gaya hidup yang lebih liberal untuk ekspatriat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan semasa pasaran pelaburan di negara ini.
Ia susulan ketidaktentuan pasaran kewangan dan ekonomi serta persengketaan politik yang berlarutan tanpa ada kesudahan menjejaskan ekonomi negara.
Selepas hampir tujuh bulan pilihan raya umum (PRU) berlalu, Malaysia masih bergelut dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Pada masa yang sama prestasi ekonomi belum menunjukkan trend pemulihan sekali gus memberi kesan kepada kedudukan pendapatan di saat hutang negara hampir RM1.5 trilion. – UTUSAN










