REMBAU: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pandangan mengenai keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.
Perdana Menteri menjelaskan, beliau tidak mempunyai masalah berhubung teguran dan pandangan yang diberikan sesetengah pihak dalam isu tersebut namun menegaskan ia mestilah bukan fitnah dan perlu bersandarkan fakta yang tepat.
Kata beliau, fakta yang sebenarnya ketika ini adalah dasar kerajaan dalam isu penggunaan kalimah Allah tidak berubah sejak tahun 1986.
“Kita bergelut lagi dengan isu kalimah Allah, apa perbezaannya? Tiada perbezaan, keputusan kerajaan sejak 1986 dan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu walaupun ada pandangan berbeza tetapi keputusannya ialah kalimah Allah itu hanya digunakan dalam masyarakat Islam dan tidak oleh bukan orang Islam, tetapi untuk Sabah dan Sarawak diputuskan ia boleh.
“Tetapi kita mahu perkemaskan beberapa isu supaya tidak timbul pertikaian di mahkamah dan sebagainya, kami akan usulkan beberapa cadangan memperkemaskan keputusan itu dan Yang di-Pertuan Agong perkenan dan kami akan bawa untuk pertimbangan dan perkenan Raja-raja Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas di sini semalam.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan bagi tujuan membaiki kerosakan di blok asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas dekat sini yang musnah dalam kejadian kebakaran Julai tahun lalu.
“Saya tahu ahli Parlimen ada mengambil langkah-langkah perlu, kerajaan negeri juga sudah ambil langkah segera, peruntukan juga sudah diluluskan di peringkat awalnya namun pelaksanaannya terlalu mengikut proses.
“Oleh yang demikian saya akan pastikan peruntukan ditambah dan pelaksanaan pembaikan disegerakan, saya difahamkan kelulusan peruntukan diberikan sebelum ini hampir RM3 juta tetapi melihat keadaan asrama dan bumbung dan surau ia tidak mencukupi.
“Saya akan minta Menteri Besar bincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya dapat Kementerian Kewangan sediakan kelulusan khas untuk dipercepatkan dan tidak ikut proses JKR, daripada peruntukan yang diumumkan sebelumnya, ia ditambah menjadi RM3.89 juta,” katanya. – UTUSAN










