Ekonomi Selangor kini bernilai RM460 bilion

Ekonomi Selangor kini bernilai RM460 bilion

Ekonomi Selangor
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sumbangan 26.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara oleh Selangor pada 2025 didorong pengembangan tiga sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Secara spesifik, ketiga-tiga sektor itu masing-masing menyumbang kepada RM15.9, RM5.3 dan RM3.7 bilion menjadikan keseluruhan nilai ekonomi berkembang sebanyak RM28 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan yang ditunjukkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menunjukkan ekonomi ini berkembang kepada RM460.1 bilion pada tahun lalu.

Katanya, ia meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding 2024 iaitu 26.2 kepada 26.5 peratus, sementara perbandingan pula adalah 1.7 dan 2.7 kali ganda berbanding Kuala Lumpur dan Johor.

“Dalam pada itu, pertumbuhan ekonomi Selangor pada tahun 2025 mencatatkan kadar sebanyak 6.3 peratus melebihi paras pertumbuhan ekonomi Malaysia iaitu 5.2 peratus.

“Pencapaian itu mengukuhkan Selangor kini menyumbang lebih satu pertiga kepada aktiviti pembinaan negara iaitu sebanyak 35.9 peratus, manakala industri pembuatan meningkat kepada 32.8 peratus dan perkhidmatan pula mengukuh kepada 27.1 peratis daripada aktiviti perkhidmatan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, DOSM melaporkan angka rasmi prestasi ekonomi negara bagi tahun 2025 yang menyatakan ekonomi negeri Selangor berkembang sebanyak RM28 bilion kepada RM460.1 bilion.

Amirudin menambah, prestasi itu turut disumbang oleh struktur ekonomi negeri menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS1) bagi lima tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 yang melibatkan pembangunan sosioekonomi negeri.

“Dalam tempoh RS1, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 33.94 peratus lebih satu pertiga, iaitu sebanyak RM116.6 bilion daripada nilai RM343.5 bilion pada tahun sebelum RS1 kepada nilai sebanyak RM460.1 bilion pada tahun 2025.

“Pencapaian itu tidak digerakkan hanya daripada usaha pembuatan dasar di Shah Alam, tetapi atas kesungguhan setiap warga Selangor yang membuka gerai makanan dan minuman dengan menyertai program seperti PLATS, pekerja yang diambil selepas menyertai program Jobcare, jurutera yang menghasilkan reka bentuk di IC Design Park, juruteknik yang mengusahakan pembuatan eletrik dan elektronik di kilang, serta syarikat yang menceburi bidang pembuatan di negeri ini,” jelasnya.

Katanya lagi, perkembangan tersebut perlu dijadikan sebagai pemangkin bagi Selangor untuk menyahut cabaran menjadi negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN