KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menegaskan keperluan mendalamkan sungai-sungai yang semakin cetek di negeri ini kerana pembinaan benteng semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah banjir.
Baginda bertitah, sungai yang dipenuhi kelodak dan mendapan menyebabkan paras air meningkat serta mudah melimpah ke kawasan penempatan meskipun benteng dibina pada ketinggian tertentu.
“Saya sering menekankan bahawa mana-mana kampung atau bandar yang terletak di sepanjang sungai perlu memastikan sungai yang melaluinya didalamkan. Setinggi mana sekali pun benteng dibina, ia tidak berguna jika sungai dipenuhi kelodak dan terus menjadi cetek.
“Sungai-sungai kita semakin cetek dan akhirnya air melimpah ke kawasan sekitarnya. Ini formula yang sangat mudah, tidak perlu sains roket untuk memahaminya,” titah baginda ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Lembing bernilai RM6 juta di sini, hari ini.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan atas peruntukan besar yang disalurkan bagi melaksanakan projek infrastruktur di Pahang, khususnya Projek Tebatan Banjir Sungai Lembing bernilai RM100 juta yang dijadual siap pada awal tahun depan.
Titah baginda, projek berkenaan sangat penting memandangkan Sungai Lembing adalah antara kawasan yang hampir setiap tahun dilanda banjir.
“Kalau hendak tahu sama ada Pahang akan banjir atau tidak, lihat dahulu Sungai Lembing. Jika Sungai Lembing banjir, besar kemungkinan Kuantan juga banjir. Itulah penanda aras yang telah lama digunakan di Pahang,” titah baginda.
Baginda sebelum ini turut menggesa kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai di seluruh Pahang dipercepat berikutan mendapan yang menyebabkan beberapa batang sungai menjadi semakin cetek sekali gus meningkatkan risiko limpahan air ketika musim hujan. – UTUSAN










