KOTA BHARU: Keadaan jalan berlubang, rosak dan tampalan yang tidak sekata terutama di laluan masuk ke negeri ini bermula dari Gua Musang sehingga Kota Bharu menjadi salah satu penyumbang kepada berlakunya kemalangan terutama pada musim perayaan.
Tinjauan Utusan Malaysia di jalan Gua Musang-Kota Bharu khususnya di Kuala Krai dan Machang mendapati banyak kerosakan berlaku namun tidak diperbaiki mengikut standard.
Malah, kaedah penurapan jalan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan turut menjadi punca laluan rosak sekali gus membahayakan pengguna.
Bagaimanapun, tidak dinafikan kemalangan juga disebabkan kecuaian pengguna jalan raya termasuk memandu melebihi had laju.
Berpandukan kepada statistik Polis Kelantan menerusi Op Selamat 18/2022 lalu, sebanyak 701 kes kemalangan berlaku di negeri ini dan telah meragut 14 nyawa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun mengakui keadaan jalan turut menjadi salah satu penyumbang kepada kemalangan.
“Selain keadaan jalan yang tidak elok, rosak dan sempit aspek pencahayaan iaitu laluan kurang terang serta gelap turut menjadi faktor.
“Pada masa sama, pemanduan dalam keadaan letih, tidak cukup rehat boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan akhirnya berlaku kemalangan selain sikap gopoh,” katanya.
Muhamad Zaki memberitahu, pengguna perlu lebih berwaspada dan mengamalkan corak pemanduan selamat bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Seorang perantau, Riduan Muhamad, 32, dari Petaling Jaya berkata, kemudahan jalan raya seharusnya lebih efisien dan mesra pengguna terutama melibatkan laluan utama.
Menurutnya, isu kerosakan jalan ini bukan perkara baharu malah rakyat perlu berhadapan dengan perkara yang sama saban tahun.
200423-Klt-Stok Raya-Jalan Kemalangan
“Kerosakan serius jalan bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah kerana ia boleh mengakibatkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kepada pengguna jalan raya.
“Tidak dinafikan selain sikap pemandu, faktor jalan raya yang rosak serta tidak rata antara punca utama berlakunya kemalangan,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi perantau, Muhammad Syazwan Mohd. Resdi, 29, dari Kepong berkata, keadaan jalan di laluan masuk ke Kelantan agak teruk dan memerlukan perhatian daripada pihak berwajib.
Katanya, isu jalan raya berkualiti dan selamat sangat penting dalam memastikan jalan raya diturap dengan sempurna serta tidak menjejaskan pengguna yang menaiki pelbagai jenis kenderaan.
“Keadaan fizikal jalan yang tidak sempurna bukan sahaja boleh menyebabkan kemalangan malah turut mengganggu kelancaran lalu lintas sekali gus menyebabkan kesesakan teruk.
“Keadaan ini akan lebih dirasai oleh perantau seperti kami terutama ketika musim perayaan disebabkan pertambahan kenderaan yang menggunakan laluan utama untuk pulang ke kampung masing-masing,” katanya. – UTUSAN











