Ibu tunggal diberhentikan kerja, berhutang demi besarkan anak

Ibu tunggal diberhentikan kerja, berhutang demi besarkan anak

NOOR Aisah Gupri bersama Dian Maisarah ketika ditemui di rumahnya dekat Meru, Klang, Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Diberhentikan kerja dan berhutang, demikian pengorbanan seorang ibu tunggal yang memikul tanggungjawab membesarkan tiga anak termasuk seorang daripadanya menghidap sindrom Cerebral Palsy (CP).

Wanita muda itu, Noor Aisah Gupri, 32, terpaksa menguatkan hati untuk menanggung Dian Sabrina Mohamad Shamsul, 9; Dian Maisarah Mohd. Shamsul, 7, dan Arif Hilman Mohamad Shamsul, 6, dengan pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.

Menurutnya, dia sebelum ini pernah bekerja sebagai kerani dekat sebuah syarikat pengurup wang dengan pendapatan RM3,000 sebulan, namun diberhentikan pada tahun lalu atas alasan kerap mengambil cuti untuk membawa anaknya menjalani rawatan.

“Dian Maisarah didiagnosis doktor menghidap sindrom Cerebral Palsy (CP) sejak lahir lagi. Jadi dia memerlukan pemerhatian khusus daripada saya termasuk menjalani rawatan setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Disebabkan itu juga saya diberhentikan.

“Anak sulung dan bongsu masih lagi bersekolah dan saya memerlukan wang secukupnya bagi memastikan mereka mampu belajar. Saya terpaksa menanggung semua ini selepas ditinggalkan suami sejak enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Meru.

Jelasnya, sejak diberhentikan, dia kini bekerja sebagai pembantu gerai jual lauk bersama kakaknya, Liza Gupri, 40, namun mengakui pendapatan hasil perniagaan tersebut tidak mencukupi menyebabkan dia terpaksa mendapatkan daripada pelbagai sumber termasuk berhutang.

Dalam pada itu, Noor Aisah memaklumkan, anak keduanya kini menerima bantuan pampers dan susu khas setiap bulan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan ini sedikit mengurangkan perbelanjaannya.

“Saya berterima kasih kepada LZS, saya juga dengan rendah hati menerima mana-mana pihak yang ingin tampil membantu ataupun menawarkan pekerjaan lebih baik untuk membesarkan dan memastikan anak mendapat rawatan,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan ke dalam akaun Maybank Noor Aisah bernombor 162731095006. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.