Hasilkan replika feri, binaan unik guna lidi sate untuk tampung hidup - Utusan Malaysia

Hasilkan replika feri, binaan unik guna lidi sate untuk tampung hidup

ZAILANI Zainal Abidin menunjukkan replika feri yang dihasilkan di rumahnya di sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Meskipun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa bergantung hidup kepada ubat-ubatan kerana mengalami masalah jantung, Zailani Zainal Abidin, 52, tetap gigih meneruskan kehidupan dengan menghasilkan pelbagai kraftangan untuk dijual.

Selain menghasilkan pelbagai replika feri bersaiz miniatur, lelaki itu turut membuat replika untuk gerai burger, bangsal, dangau, rumah bonsai atau rumah kampung serta beberapa binaan lain mengikut permintaan pelanggan.

Menariknya, sebahagian besar binaan tersebut dihasilkan menggunakan bahan utama iaitu lidi sate yang dibelinya di kedai-kedai atau kedai serbaneka yang menjual barangan plastik.

“Saya bermula dengan membuat replika untuk Jambatan Pulau Pinang ketika saya masih kecil. Idea itu datang spontan selepas saya duduk di tepi pantai untuk melihat jambatan dari jauh.

“Selepas tragedi terminal feri runtuh (1988), saya tergerak hati untuk membuat replika feri bagi mengenang tragedi itu. Lagipun, sejak kecil memang saya selalu ikut ayah naik feri. Sampaikan enjin feri pun saya tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

 

Jelas Zailani, ketika ini, dia mampu menghasilkan antara lima hingga 10 buah feri pelbagai saiz dalam sehari manakala untuk replika lain, bergantung kepada keadaan semasa.

Katanya, harga yang ditetapkan untuk replika feri itu pula antara RM50 hingga RM80 bergantung kepada saiz dan hiasan tambahan dengan replika feri termahal pernah dihasilkannya mencecah RM280 manakala harga untuk replika binaan lain juga bergantung kepada saiz.

“Sekarang, masalah utama saya ialah kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya lidi sate dalam kuantiti yang banyak sedangkan tempahan yang saya terima pula semakin meningkat.

“Pada masa sama, beberapa bahan lain termasuk papan lapis, gam lilin dan lain-lain juga semakin mahal dan menyebabkan saya terbeban,” katanya yang mampu memperoleh antara RM600 hingga RM700 sebulan atau lebih hasil jualan kraftangan tersebut ketika ini.

Zailani yang kini tinggal bersama seorang rakan selepas kematian anak tunggalnya hampir tiga tahun lalu berkata, dia juga menghadapi masalah untuk memasarkan produk uniknya itu secara bersemuka dengan pelanggan.

Ini kerana, ujarnya, disebabkan kesukaran untuk bergerak kerana keadaan kakinya yang tempang selain tinggal di tempat yang agak tinggi.

“Dulu, saya pernah terima tempahan untuk membuat replika feri. Tapi, apabila saya beritahu pelanggan mereka terpaksa datang untuk ambil sendiri di tingkat 10 kerana saya tidak boleh menghantar tempahan tersebut, mereka membatalkan terus (tempahan).

“Tak apalah. Mungkin bukan rezeki masa itu,” katanya yang berhasrat memiliki kedai sendiri atau sekurang-kurangnya berpindah ke tingkat lebih rendah sekali gus memudahkan pergerakannya sama ada untuk menjual produk atau mendapatkan bahan bagi menyiapkan hasil kraftangannya itu.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan hasil kraftangan unik daripada Zailani boleh berbuat demikian dengan menghubunginya menerusi talian 0175657002. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya