KANGAR: Tambang feri ke Pulau Langkawi naik sebanyak RM10 ke atas penumpang tanpa MyKad yang berkuatkuasa pada 1 April lalu.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, pelarasan tersebut merupakan langkah operasi yang perlu dilaksanakan susulan peningkatan kos industri yang tidak mampu lagi ditanggung oleh pihak pengendali.
Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri feri berdepan peningkatan kos signifikan khususnya melibatkan harga bahan api industri, penyelenggaraan, tenaga kerja dan keperluan pematuhan peraturan.
“Peningkatan ini berlaku sedangkan tambang feri ke Langkawi masih kekal pada paras yang tidak mencerminkan kos operasi sebenar,” katanya.
Menerusi pelarasan harga baharu itu, pengguna dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi tanpa Mykad akan dikenakan bayaran tiket sebanyak RM45 (dewasa) dan RM35 (kanak-kanak) bagi perjalanan sehala.
Manakala, harga tiket dari Kuala Kedah Ke Pulau Langkawi bagi pengguna tanpa Mykad pula adalah sebanyak RM55 (dewasa) dan RM42 (kanak-kanak) bagi perjalanan sehala.
Selain itu, tiada perubahan harga tiket buat mana-mana penumpang yang merupakan pemegang Mykad.
Baharin berkata, sekiranya pelarasan itu tidak dilaksanakan, industri feri berisiko menghadapi pengurangan perkhidmatan, gangguan operasi dan cabaran kelestarian jangka panjang yang memberi kesan kepada pengguna di negara ini.
“Perlu ditegaskan bahawa pelarasan ini tidak melibatkan warganegara Malaysia yang memegang MyKad. Keutamaan kekal untuk memastikan kemampuan dan aksesibiliti bagi pengguna tempatan terus terpelihara,” katanya.
Katanya, pelarasan minimum itu adalah munasabah buat penumpang tanpa MyKad memandangkan tambang feri di Langkawi masih jauh lebih rendah berbanding laluan pulau-pulau lain di Malaysia.
Baharin berkata, pelarasan ini juga merupakan langkah minimum yang diperlukan bagi memastikan perkhidmatan feri terus beroperasi secara selamat, boleh dipercayai dan mampan.
“Sebagai perbandingan, tambang feri ke Pulau Tioman adalah sekitar RM85.00 walaupun jarak nautikanya adalah hampir sama dengan Pulau Langkawi. Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun selepas pelarasan, tambang feri Langkawi masih berada di bawah paras pasaran semasa,” katanya. – UTUSAN









