LANGKAWI: Sebelum perkembangan pesat penerbangan tambang murah, feri merupakan laluan utama untuk keluar masuk ke Pulau Langkawi dan meskipun kini terdapat banyak penerbangan terus, feri masih menjadi pilihan penting terutama bagi penduduk tempatan.
Bagi sebahagian penduduk Langkawi, feri bukan sekadar perjalanan biasa tetapi rutin kehidupan yang memastikan ekonomi mereka bergerak kerana dengan kehadiran pelancong melalui laluan laut, ia akan memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor seperti hotel, restoran, peruncitan serta kenderaan sewa.
Justeru, disebabkan trip perjalanan feri kini dikurangkan kepada hanya tiga perjalanan sehari akibat kenaikan diesel, timbul kebimbangan ramai pihak yang sukar mendapatkan tiket, tempoh menunggu lebih lama serta risiko kelewatan dalam pelbagai urusan penting.
Penasihat Pertubuhan Amal Rakyat Langkawi, Nor Saidi Nanyan berkata, perkhidmatan feri bukan sekadar perniagaan tetapi pengangkutan awam strategik yang menjadi tulang belakang kepada pergerakan rakyat, industri pelancongan dan ekonomi tempatan yang melibatkan lebih 70 peratus penduduk.
“Namun, hakikatnya kita kini berdepan isu yang tidak boleh dipandang ringan dan kita tiada pilihan selain berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan perkhidmatan feri kembali beroperasi seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 23 Mac lalu, akhbar ini melaporkan perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta sebaliknya akan dikurangkan selepas Aidilfitri ekoran kenaikan mendadak harga diesel industri kepada RM7 seliter.
Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom berkata, jadual asal operasi feri sebanyak lima perjalanan sehari akan dikurangkan kepada tiga perjalanan sebagai langkah kawalan kos dan penyesuaian kepada permintaan semasa.
Nor Saidi berkata, penduduk memahami tindakan operator feri mengurangkan trip perjalanan adalah bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan berikutan peningkatan kos yang dihadapi.
Namun katanya, kesan pengurangan itu amat dirasai oleh pengguna, terutamanya apabila kebanyakan jadual perjalanan sedia ada sering penuh dan memaksa mereka menyewa bot laju untuk keluar atau masuk sekiranya berdepan situasi kecemasan.
“Tetapi tidak semua mampu berbuat demikian, dan sebahagian besar masih tidak dapat keluar atau masuk ke Langkawi atau tanah besar apabila berdepan keperluan mendesak.
“Jadi, diharap kerajaan dapat mempertimbang langkah-langkah sokongan kepada operator feri seperti subsidi bersasar atau mekanisme kawalan kos, agar operasi dapat diteruskan tanpa memindahkan beban kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, operator feri juga memiliki alternatif untuk menggunakan feri yang berkapasiti lebih kecil bagi membolehkan trip perjalanan sentiasa tersedia.
Katanya, kelancaran perkhidmatan feri yang terganggu akan menjejaskan urusan harian penduduk Langkawi terutama pesakit yang perlu menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“Apa salahnya pengusaha feri guna dahulu feri kecil yang mereka miliki agar jadual perjalanan lebih kerap kerana dengan tindakan diambil sekarang memang ia memberi impak besar kepada orang Langkawi.
“Orang yang tidak tinggal di pulau ini mungkin tidak memahami dengan mendalam kesukaran yang dihadapi mereka tetapi percayalah feri ini memang nadi utama penduduk tempatan untuk berulang-alik ke tanah besar,” ujarnya.
Malah kata beliau, Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara juga amat bergantung kepada kelancaran akses keluar masuk pelawat yang tidak menaiki penerbangan.
Zuraidi berkata, sebarang ketidaktentuan akan menjejaskan keyakinan pelancong serta pendapatan komuniti setempat.
“Apa yang orang ramai harapkan adalah perkhidmatan ini kembali normal agar penduduk Langkawi dapat menguruskan urusan harian tanpa halangan dan pelancong pula dapat keluar masuk dengan lancar yang semuanya bergantung kepada kelancaran feri,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata, Kerajaan Persekutuan mempunyai ruang dan keupayaan untuk bertindak segera dalam isu itu.
“Apa yang diperlukan sekarang bukan alasan, tetapi penyelesaian segera kepada isu operasi feri, jaminan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat dan pekan jangka pendek serta panjang untuk kestabilan pengangkutan Langkawi.
“Dalam keadaan di mana penjimatan hasil rasionalisasi subsidi telah dicapai, adalah wajar sebahagian kecil daripadanya digunakan untuk menangani isu kritikal seperti ini, sekurang-kurangnya sebagai langkah sementara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu segera memberi keutamaan kepada isu ini sebelum ia terus menjejaskan keyakinan pelancong, pelabur dan paling penting kesejahteraan rakyat Langkawi sendiri. – UTUSAN









