Surcaj feri bermula 20 April, kadar sehingga 18 peratus ikut harga minyak

Surcaj feri bermula 20 April, kadar sehingga 18 peratus ikut harga minyak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kerajaan akan melaksanakan surcaj bahan bakar bunker bagi perkhidmatan feri penumpang dan feri roll-on roll-off (RORO) bermula 20 April ini, dengan kadar antara sifar hingga maksimum 18 peratus bergantung kepada harga minyak semasa.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan ketara harga diesel marin global akibat ketegangan geopolitik yang menjejaskan pasaran tenaga dan rantaian logistik antarabangsa.

Menurutnya, surcaj berkenaan dilaksanakan secara bersasar sebagai langkah sementara bagi menampung sebahagian kos operasi tanpa menjejaskan akses rakyat kepada pengangkutan maritim.

“Surcaj ini dilaksanakan berasaskan pendekatan pass-through cost secara terhad, di mana hanya sebahagian kecil kenaikan kos bahan api dipindahkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MOT menjelaskan, kadar surcaj ditetapkan secara berperingkat mengikut julat harga minyak, iaitu sifar peratus bagi harga sehingga RM4.00 seliter.

Katanya, kadar lima peratus dikenakan bagi harga RM4.01 hingga RM5.00 seliter, lapan peratus (RM5.01–RM6.00), 12 peratus (RM6.01–RM7.00) dan 15 peratus bagi RM7.01 hingga RM8.00 seliter.

“Bagi harga minyak melebihi RM8.00 seliter, kadar maksimum surcaj ditetapkan pada 18 peratus,” jelasnya.

Menurut MOT, surcaj itu hanya dikenakan kepada pengguna awam dan pelancong, manakala penduduk setempat serta pengguna harian dikecualikan.

Katanya, pendekatan tersebut bagi memastikan golongan yang bergantung kepada perkhidmatan feri tidak terbeban, di samping mengekalkan kebolehcapaian pengangkutan maritim.

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan kadar surcaj akan disemak secara bulanan berdasarkan perubahan harga minyak, kedudukan subsidi kerajaan serta impak kepada pengguna.

“Sebarang pelarasan termasuk pengurangan atau pemansuhan surcaj akan dibuat secara berhati-hati berasaskan data semasa,” katanya.

MOT menegaskan, pelaksanaan surcaj itu bukan bertujuan meningkatkan keuntungan pengendali, sebaliknya memastikan kesinambungan operasi perkhidmatan feri tanpa gangguan.

Surcaj bahan bakar bunker itu akan berkuat kuasa mulai 20 April 2026 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN