KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan, beliau pernah dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, beliau mempersoalkan, sepatutnya tawaran itu memberi kelebihan kepada Pas kerana mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain.
Tetapi katanya, perkara itu tidak berlaku kerana Pas hanya berfungsi untuk menyumbang peningkatan jumlah kerusi bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.
Tambahnya, jika Pas yang mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain, parti Islam itu mempunyai hak untuk memimpin negara.
“Ada orang hubungi saya, beberapa orang acap kali mahu berjumpa dengan tawaran untuk menyertai kerajaan,
“Pas 43 kerusi, PKR 30 sahaja, dalam keadaan 30 kerusi ini, sembilan kerusi adalah bukan Melayu. 19 sahaja Islam dalam keadaan PKR, DAP pula, tiga Melayu daripada 40 kerusi, 37 kerusi bukan Melayu.
“Kalau campur gabungan itu, kerajaan akan didominasi oleh orang Islam. Dia nak ajak Pas, tetapi Pas duduk di belakang, bukan di depan.
“Sepatutnya apabila buat kerajaan, parti lebih besar memimpin. Ini dia suruh macam kepala ular, kecil sahaja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, semalam.
Bagaimanapun, jelas Abdul Hadi lagi, Pas terbuka untuk berjumpa dengan mana-mana pihak untuk menjalinkan kerjasama, namun mestilah bertepatan dengan konsep dan hala tuju yang dibawa. – UTUSAN










