Gunung Everest masih dekat di hati Marina

Gunung Everest masih dekat di hati Marina

GAMBAR kenangan Marina Ahmad (depan, kiri) dan Mohd. Rafi Kori (depan, kanan) ketika berjaya menawan Gunung Everesrt pada 2007.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Setiap kali tibanya tarikh keramat 21 Mei, pasti Marina Ahmad mengimbau semula kenangan manisnya apabila berjaya melakar sejarah menjadi wanita pertama dari Malaysia yang menakluki puncak Gunung Everest.

Bertaruh nyawa antara hidup dan mati ketika menyertai Ekspedisi Merdeka De’Everest pada 2007 itu, Marina mengakui segala pengorbanan keringat, masa dan tenaga untuk mencapai impian tersebut adalah kerana cinta serta minatnya yang mendalam terhadap sukan pendakian.

Sempena ulang tahun ke-16 kejayaannya menawan puncak setinggi 8,848 meter tersebut semalam, wanita berusia 42 tahun itu berharap lebih ramai rakyat Malaysia termasuk pendaki wanita dapat mengharumkan nama negara menakluki gunung tertinggi di dunia itu.

“Kemajuan dan revolusi teknologi yang berlaku hari ini memudahkan sesiapa sahaja mencapai impian mereka sampai di puncak Gunung Everest.

“Dalam sukan pendakian contohnya, rekaan sut pakaian, kasut dan peralatan pendaki pada masa sekarang lebih berkualiti, ringan serta selesa dipakai berbanding 16 tahun dahulu.

“Begitu juga kecanggihan teknologi komunikasi yang lebih moden membolehkan pendaki menggunakan telefon pintar berbanding hanya walkie-talkie untuk memudahkan pendaki menghubungi keluarga dan insan tersayang dengan lebih pantas ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berdasarkan rekod, Marina adalah pendaki wanita keempat dari Asia Tenggara dan pendaki wanita ke-88 dunia yang berjaya menawan puncak Gunung Everest setakat ini manakala untuk rekod keseluruhan, beliau adalah pendaki ke 1,761 yang sampai ke ‘bumbung dunia’ itu.

Ibu kepada tiga anak itu yang kini bertugas sebagai Penerbit Rancangan di RTM, Jabatan Penyiaran Terengganu berkata, dia mengikuti perkembangan semua kumpulan pendaki Malaysia yang melancarkan ekspedisi menawan Everest secara dekat dan mendoakan kejayaan mereka.

Menurutnya, sehingga kini, beliau dan suami, Mohd. Rafi Kori yang juga menyertai pendakian pada ekspedisi itu masih aktif berhubung dengan sherpa di Nepal serta kumpulan pendaki profesional yang lain untuk berkongsi pelbagai maklumat dalam bidang pendakian.

“Bagaimanapun, berita yang kita semua terima baru-baru ini mengenai pemergian Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob dalam ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) sangat menyedihkan.

“Memang setiap pendaki berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses menakluk Everest termasuk simptom akut ketinggian gunung (Acute Mountain Sickness) dan pelbagai masalah kesihatan yang lain sehingga yang paling teruk boleh menyebabkan pendaki meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya