PETALING JAYA: Pendapatan pemaju hartanah bagi suku pertama 2026 dijangka mencatat prestasi sederhana, sejajar atau sedikit di bawah jangkaan pasaran berikutan separuh pertama tahun lazimnya lebih perlahan berbanding separuh kedua, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan pemaju masih merekodkan permintaan dan jualan hartanah yang kukuh sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026 meskipun berlaku ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada penghujung Februari lalu.
“Konflik berkenaan setakat ini belum memberi kesan besar terhadap margin keuntungan pemaju, namun risiko tekanan kos dijangka meningkat sekiranya peperangan berlarutan dalam tempoh lebih panjang.
“Sebahagian pemaju memberi bayangan kemungkinan peruntukan tambahan perlu dibuat bagi menampung peningkatan kos pembinaan untuk projek sedia ada dan semasa. Kesan terhadap margin keuntungan mungkin mula kelihatan dalam keputusan kewangan akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, RHB Research tidak menjangkakan pemaju akan menurunkan sasaran jualan tahunan mereka apabila keputusan kewangan diumumkan pada Mei ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan harga saham sektor hartanah kebelakangan ini menunjukkan sentimen pelabur semakin pulih selepas tekanan yang berlaku pada Mac dan April akibat kebimbangan terhadap penyusutan margin keuntungan.
“Pemaju ketika ini masih mampu menyerap kenaikan kos kerana sebahagian besar peningkatan tersebut boleh dipindahkan kepada pembeli.
“Namun, jika konflik geopolitik berlarutan, margin keuntungan pemaju mungkin mula terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, usaha pengewangan aset terus menjadi pemangkin penting sektor hartanah.
RHB Research berkata, tiga pemaju utama termasuk Sime Darby Property Bhd dan SP Setia Bhd. dijangka menyenaraikan aset hartanah bernilai kira-kira RM13 bilion menerusi suntikan ke dalam amanah pelaburan hartanah (REIT) dalam tempoh dua tahun akan datang.
Permintaan hartanah di Iskandar Malaysia juga dilihat terus kukuh meskipun ringgit mengukuh, disokong tekanan inflasi serantau yang mendorong lebih ramai warga Singapura berbelanja dan menetap di kawasan tersebut.
Selain itu, harga tanah dijangka kekal tinggi berikutan transaksi terkini masih direkodkan pada paras premium, sekali gus mencerminkan permintaan pasaran yang stabil.
RHB Research yang mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor hartanah berkata segmen hartanah mewah di lokasi premium dijangka terus mencatat prestasi memberangsangkan.
Harga jualan purata bagi projek baharu di kawasan seperti Desa ParkCity, Damansara, Petaling Jaya dan Pavilion Damansara Heights dilaporkan masih kekal kukuh. – UTUSAN










