PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil pada 2026 dengan purata antara RM4,000 hingga RM4,300 satu tan, disokong oleh beberapa faktor asas pasaran global yang masih ketat.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, antara pemacu utama yang menyokong harga ialah peluasan program biodiesel di Indonesia.
Katanya, pelaksanaan mandatori campuran biodiesel yang lebih tinggi di negara itu dijangka menyerap sebahagian besar bekalan minyak sawit untuk kegunaan domestik, sekali gus mengurangkan jumlah eksport Indonesia ke pasaran antarabangsa.
“Keadaan ini menyumbang kepada penyempitan bekalan minyak sawit global.
“Selain itu, stok minyak sayuran dunia dijangka kekal rendah merangkumi bukan sahaja minyak sawit, tetapi juga minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi.
“Kekangan bekalan ini menyebabkan pasaran lebih sensitif terhadap sebarang gangguan pengeluaran, termasuk faktor cuaca, ketidaktentuan geopolitik serta perubahan dasar perdagangan global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, harga minyak mentah dunia yang kekal tinggi turut dijangka menjadi faktor sokongan tambahan kepada harga MSM.
“Keadaan ini meningkatkan daya saing biodiesel, sekali gus mengukuhkan permintaan terhadap minyak sawit sebagai bahan mentah tenaga alternatif.
“Bagaimanapun, MPOB turut memberi amaran bahawa pasaran minyak sawit pada 2026 masih berdepan ketidaktentuan, khususnya daripada perkembangan ekonomi global, risiko geopolitik serta turun naik permintaan import dari negara pengguna utama,” katanya.
Jelas Ahmad Parveez, walaupun trend harga dijangka kekal kukuh, pergerakan jangka pendek masih berpotensi berubah mengikut keadaan semasa pasaran dunia.
Ketika ini, jelasnya, konflik di Asia Barat menunjukkan pergerakan harga minyak mentah dunia serta dasar biodiesel Indonesia merupakan antara faktor luaran utama yang mempengaruhi prestasi harga minyak sawit mentah Malaysia secara positif.
“Harga minyak mentah Brent terus menunjukkan trend peningkatan sejak tercetusnya konflik Iran-Amerika Syarikat.
“Pada 27 Februari 2026, harga minyak mentah Brent didagangkan pada paras AS$76 (RM299.14) setong sebelum meningkat ketara sebanyak 77.6 peratus kepada AS$104 (RM409.14) setong pada 8 Mei 2026.
“Seiring dengan itu, harga MSM turut mencatatkan peningkatan kepada RM4,515.00 satu tan pada 8 Mei 2026, berbanding RM3,956.50 satu tan pada 27 Februari 2026, iaitu kenaikan sebanyak 14.1 peratus,” katanya.
Menurut Ahmad Parveez, dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadaptenaga buruh asing, MPOB melaksanakan beberapa strategi melalui gabungan penyelidikan, pembangunan teknologi, mekanisasi, automasi dan pemindahan teknologi kepada industri.
“Antaranya termasukpembangunan teknologi mekanisasi oleh MPOB dan pengkomersialan teknologi melalui program seperti Mechanisation and Automation Research Consortium of Oil Palm (MARCOP), yang bertujuan mempercepat pembangunan serta penggunaan teknologi mekanisasi dalam operasi ladang sawit,” katanya. – UTUSAN










