Ustaz Fathi Na'im dilepas, bebas tuduhan merogol remaja 14 tahun

Ustaz Fathi Na’im dilepas, bebas tuduhan merogol remaja 14 tahun

FATHI NA'IM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Muhammad Fathi Na’im Mazlam dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah hotel lima tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian tanpa memanggil tertuduh yang lebih dikenali dengan nama Ustaz Fathi Naim untuk membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati keterangan mangsa yang juga saksi pendakwaan ketiga (SP3) tidak boleh dipercayai.

Ujarnya, ketika mangsa disoal balas, mahkamah telah membenarkan permohonan peguam bela untuk memulakan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaannya.

Alasan permohonan peguam bela adalah terdapat percanggahan material dalam jawapan mangsa terhadap soalan pemeriksaan utama yang sama dengan soalan pemeriksaan utama ketika perbicaraan terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen Klang bagi kesalahan sama.

“Setelah mendengar, meneliti dan mempertimbangkan keterangan daripada saksi-saksi pihak pendakwaan dan hujahan lisan dan bertulis pihak-pihak serta kes-kes autoriti yang dikemukakan, mahkamah mendapati keterangan penjelasan SP3 semasa prosiding impeachment (mencabar kredibiliti saksi) oleh pihak pembelaan tidak boleh dipercayai.

“Dengan itu, pihak pendakwaan telah gagal mewujudkan prima facie terhadap pertuduhan. Oleh demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” kata hakim itu.

Muhammad Fathi Na’im dibicarakan atas tuduhan merogol remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun di antara pukul 2 dan 10 pagi, 3 Disember 2021 dalam sebuah bilik hotel di Jalan Imbi, Bukit Bintang,

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Pada 18 September 2025, Muhammad Fathi Na’im dihukum penjara 15 tahun dan sebat tiga kali oleh Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan tiga tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di Kuala Selangor.

Tertuduh berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sekitar awal tahun lalu.

Penceramah itu mempunyai enam lagi pertuduhan seksual di Mahkamah Sesyen Klang membabitkan mangsa sama yang mana perbicaraan bagi kes itu masih belum berjalan.
Muhammad Fathi Na’im turut berdepan enam lagi pertuduhan termasuk rogol dan amang seksual serta hubungan seks dengan objek ke atas mangsa sama di Mahkamah Sesyen Klang, yang mana perbicaraan masih belum berjalan.

Sementara itu, Muhammad Fathi Na’im ketika ditemui media di luar mahkamah selepas tamat prosiding bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.

“Saya tidak tahu hendak cakap apa-apa, blur (fikiran kosong) sekejap, bagaimanapun terima kasih kepada yang mendoakan,” katanya yang diwakili peguam bela, Muhammad Ashraff Mohd. Diah.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Pervinah Mohamad Yusof ketika ditemui media memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN