Golongan wanita digalak jalani ujian mamogram, HPV DNA percuma - Utusan Malaysia

Golongan wanita digalak jalani ujian mamogram, HPV DNA percuma

AIMAN ATHIRAH Sabu (kiri) meneliti ucapan Hari Ibu selepas merasmikan Seminar Kesihatan Kesejahteraan Wanita di LPPKN Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Golongan wanita digalakkan menjalani ujian pengesanan awal kanser payudara menerusi ujian mamogram dan kanser pangkal rahim melalui ujian HPV DNA percuma sehingga hujung tahun ini.

Program subsidi kedua-dua ujian yang disalurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) itu bertujuan memastikan pemeriksaan awal dapat dijalankan dengan segera.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengurangkan statistik wanita tercicir daripda mendapatkan kedua-dua ujian pengesanan terbabit.

“Kita amat berharap golongan wanita terutamanya yang berusia 40 tahun ke atas tidak melepaskan peluang untuk menjalani pemeriksaan percuma ini.

“Bantuan ini adalah salah satu cara kita membantu kaum wanita supaya mereka lebih cepat tahu dan cepat bertindak sekiranya dikesan menghidap penyakit ini.

“Jangan dah sampai ke tahap empat baru tahu, nanti lebih susah untuk dirawat dan perbelanjaan perubatan juga akan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Wanita dan sambutan Hari Ibu 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Pusat Keluarga LPPKN Bertam, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Hairil Fadzly Md. Akir berkata, Data Laporan Kanser Kebangsaan 2012-2016 merekodkan peratus kes yang dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat menunjukkan peningkatan.

“Kita dapati peningkatan sebanyak 47.9 peratus berbanding 43.2 peratus daripada Laporan Kanser Kebangsaan 2007-2011.

“Trend ini sangat membimbangkan dan jika tiada langkah-langkah diambil untuk menggalakkan lebih ramai wanita terutama yang berisiko tinggi menjalani ujian saringan ini, dikhuatiri kadar kematian akibat kanser payudara akan meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya