Gaji warga asing, bot nelayan tempatan ditahan

Gaji warga asing, bot nelayan tempatan ditahan

BOT nelayan tempatan yang ditahan selepas disyaki menggajikan warga Myanmar untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan dalam rondaan OPS JAKSA semalam selepas disyaki menggajikan tiga warga asing untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihaknya telah memeriksa dan menahan bot tersebut ketika sedang menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda dikedudukan lebih kurang 3 batu nautika timur Pulau Tinggi pada pukul 6.30 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada lima kru bot nelayan tempatan tersebut merupakan warga Myanmar tidak memiliki kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan.

“Semua kru bot nelayan Kelas C tersebut termasuklah dua terdiri dari warga tempatan merupakan tekong berumur lingkungan 35 hingga 51 tahun.

“Kesemua yang ditahan dan disiasat disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya bot serta kru ditahan bersama 600 kilogram hasil laut dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Tambahnya orang ramai boleh salurkan sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau kejadian kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN