PETALING JAYA: Harga tenaga yang kekal tinggi akan meningkatkan pendapatan segmen huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), sekali gus menyokong kestabilan operasi dan kedudukan kewangannya, menurut agensi penarafan kredit, Moody’s Ratings.
Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Ratings, Hui Ting Sim berkata, walaupun konflik di Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan Petronas bagi operasi hiliran, pendapatan keseluruhan kumpulan dijangka meningkat apabila keuntungan segmen huluan melebihi tekanan dalam segmen hiliran.
Katanya, segmen huluan kekal penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat minyak dan gas nasional itu.
“Justeru, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Petronas diunjurkan meningkat kepada antara RM120 bilion hingga RM130 bilion pada 2026, berbanding RM112 bilion pada 2025.
“Unjuran itu berdasarkan harga purata minyak mentah Brent sekitar AS$80 setong (RM317.20) tahun ini, berbanding kira-kira AS$70 setong (RM277.55) tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, jelasnya, Belanjawan Malaysia 2026 yang diumumkan pada akhir 2025 mengandaikan pembayaran dividen sebanyak RM20 bilion daripada Petronas kepada kerajaan.
“Namun, belanjawan itu berkemungkinan berasaskan andaian harga minyak yang lebih rendah daripada paras semasa. Sekiranya harga minyak melebihi jangkaan belanjawan, kami menjangka Petronas akan meningkatkan pembayaran dividen seiring pertumbuhan pendapatan.
“Kami menjangka aliran tunai bebas kekal secara amnya neutral dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ting Sim berkata, pada 2025 Petronas dan Eni S.p.A. memeterai perjanjian usaha sama bagi menggabungkan aset huluan terpilih di Malaysia dan Indonesia.
“Kerjasama itu dijangka hanya memberi sumbangan sederhana kepada pendapatan terkumpul dan hak pengeluaran Petronas, namun mampu meningkatkan kepelbagaian geografi dengan memperluas pendedahan syarikat di Indonesia,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Petronas turut berdepan risiko peraturan dalam sektor minyak dan gas Malaysia susulan usaha kerajaan Sarawak agar Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengambil alih semua aktiviti pengedaran gas di negeri itu, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan terhadap skop operasi Petronas di Sarawak.
Beliau berkata, perkara itu kini dalam proses kehakiman bagi mendapatkan kejelasan undang-undang.
“Memandangkan keputusan dan garis masa masih tidak pasti, kami belum memasukkan sebarang kesan berpotensi dalam unjuran kami. Kami akan menilai kepentingan perkembangan ini terhadap profil perniagaan dan kewangan Petronas apabila terdapat kejelasan, khususnya memandangkan Sarawak menyumbang sebahagian besar pengeluaran gas syarikat di Malaysia.
“Sebarang langkah kerajaan yang mengakibatkan penurunan ketara dalam pendapatan atau aliran tunai Petronas akan memberi kesan negatif kepada profil kredit,” katanya.
Berdasarkan jangkaan itu, Moody’s mengekalkan penarafan A2 bagi penerbit dan hutang tidak bercagar kanan serta Penilaian Kredit Asas (BCA) a2 bagi Petronas.
Pada masa sama, agensi itu turut mengekalkan penarafan A2 bagi nota hutang tidak bercagar kanan yang diterbitkan oleh Petronas Capital Limited, penarafan A2 bagi nota hutang tidak bercagar kanan terbitan Petronas Energy Canada Ltd (PECL), serta penarafan tidak bercagar kanan (P)A2 bagi program nota jangka sederhana yang diwujudkan oleh Petronas Capital Limited dan PECL.
“Pengesahan penarafan A2 Petronas mencerminkan profil perniagaan yang kukuh serta dasar kewangan berhemat, yang membolehkan syarikat mengekalkan kedudukan tunai bersih dan kecairan yang cemerlang sepanjang kitaran harga minyak,” katanya.-UTUSAN










