KERUSI Menteri Besar Selangor pada sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri ini terus menjadi sebutan walaupun kuasa pelantikannya terletak di tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berdasarkan wakil parti paling ramai dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini kerana terdapat enam nama menjadi bualan dalam kalangan wakil-wakil dan penyokong-penyokong parti politik iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Pengerusi PN Selangor) dan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Pesuruhjaya Pas Selangor).
Daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pula, Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Malah, ada sumber mendakwa Tengku Zafrul akan menjadi menteri besar selepas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu dikatakan akan bertanding di DUN Kota Kemuning dan tetap dipilih walaupun BN hanya menang kerusi tersebut.
Dua nama lagi menjadi bualan adalah bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tan Sri Noh Omar yang dikatakan menjadi sandaran kepada PN untuk merampas Selangor daripada PH kerana masing-masing mempunyai pengaruh dan kekuatan tersendiri.
Jika perubahan tersebut berlaku, penstrukturan semula Kabinet akan dilakukan terutama melibatkan portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri jika benar Tengku Zafrul dipilih menjadi menteri besar.
Justeru, pemimpin kanan dalam komponen PH seperti Amirudin (Naib Presiden PKR), Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Rodziah Ismail dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Gabatirau Veraman dikatakan antara dipandang untuk ke Kabinet apabila masing-masing memegang kerusi Parlimen Gombak, Ampang dan Klang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-15) lalu.
Bagaimanapun, Amirudin yang kini berada di Amerika Syarikat bagi mengetuai delegasi 11 syarikat pemula tempatan dalam bidang teknologi pada sidang kemuncak pelaburan Select USA Investment 2023, sebelum ini menolak spekulasi tersebut.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin yang juga seorang peguam menjangkakan berlaku perubahan di peringkat persekutuan selepas PRN nanti berdasarkan dinamik politik.
“Keanggotaan kabinet adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melakukannya pada bila-bila masa. Tetapi tak mustahil rombakan Kabinet dibuat selepas PRN kerana politik itu dinamik.
“Saya melihat situasi tersebut berdasarkan kedudukan pemimpin kanan dalam PH di Selangor, sebahagian mereka sudah pun menjadi ahli Dewan Rakyat. Mungkin ada antara mereka akan dikhususkan untuk memberi tumpuan di peringkat persekutuan,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN










