Konflik Asia Barat: Pembatalan pakej umrah dijangka cecah 40%

Konflik Asia Barat: Pembatalan pakej umrah dijangka cecah 40%

JEMAAH ibadah umrah mengelilingi Kaabah di pekarangan Masjidil Haram di kota suci Mekah, Arab Saudi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konflik berterusan di Asia Barat dijangka menjejaskan industri umrah sehingga 40 peratus pembatalan pakej bagi perjalanan pada November, Disember dan Januari depan susulan kebimbangan terhadap keselamatan jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kebimbangan orang ramai menunaikan umrah meningkat susulan risiko keselamatan setelah insiden Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dibom dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang terkorban manakala 300 cedera.

Katanya, malah Wisma Putra mengeluarkan nasihat agar rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Arab Saudi susulan kejadian itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun setakat ini belum berlaku pembatalan pakej umrah kerana konflik itu baru tercetus. Penerbangan jemaah umrah masih boleh dilakukan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.

“Namun situasi di Riyadh itu mempengaruhi keputusan bakal jemaah untuk meneruskan perjalanan, khususnya bagi tempoh November hingga Januari depan.

“Mengenai serangan tersebut, pembatalan dijangka akan mula pada bulan depan dan kemungkinan sehingga 40 peratus, untuk sekarang Oktober mungkin tidak sebab orang sudah bayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Kementerian Luar melaporkan tiada rakyat Malaysia terkorban atau cedera susulan serangan terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan insiden projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam

Serangan tersebut mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang, sekali gus memaksa banyak syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan atau melencongkan penerbangan mereka akibat ruang udara yang tidak selamat.

Sebelum ini, Arab Saudi berdepan beberapa serangan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Konflik itu menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan serta kesan negatif terhadap Jepun akibat lonjakan harga tenaga, memandangkan negara yang kekurangan sumber asli itu sangat bergantung kepada Asia Barat bagi bekalan minyak mentah.

Dalam pada itu, Razali menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara perjalanan umrah susulan insiden serangan peluru berpandu di Arab Saudi itu.

Katanya, langkah penangguhan itu wajar diambil bagi memastikan keselamatan jemaah terjamin sementara menunggu keadaan di sana kembali reda dan tenang sepenuhnya.

“Saranan saya, eloklah tangguhkan dahulu perjalanan sampai semua keadaan reda dan tenang.

“Pasal umrah ini, kalau kita pasang niat nak pergi, pahala itu sudah ada, cuma kalau pergi itu sah dapat pahala, tetapi kalau tinggal atau ditangguhkan disebabkan keadaan ini, pahala itu tetap dapat juga,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan menunaikan ibadah umrah buat sementara waktu.

Beliau berkata, nasihat itu adalah susulan risiko keselamatan setelah insiden Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dibom pada Sabtu lepas, mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang terkorban dan 300 cedera.

“Di Mekah masih tidak ada (insiden). Cumanya ada misil yang telah meletup di Riyadh, jadi kita minta supaya rakyat Malaysia elok tangguhkan dahulu perjalanan kita ke sana (Mekah dan Madinah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri kebarangkatan pulang Raja Jordan, Raja Abdullah II di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini