KEPALA BATAS: Ibu pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang masih hilang, Muhammad Hawari Hashim hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya menerusi laporan media sosial kelmarin.
Che Tom Hassan, 64, berkata, dia terkejut dengan perkhabaran itu, namun berharap anak ketiga daripada lima beradik itu yang mesra dipanggil ‘Warie’ kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Selepas mengetahui Warie hilang, kami sekeluarga berkumpul bersama-sama isteri dan dua anaknya untuk menantikan jika ada maklumat lanjut.
“Sejujurnya, saya sangat mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, mohon doakan Warie selamat pulang.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin bagi memohon keselamatan dan kesejahteraannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini, semalam.
Sambil menahan sebak, Che Tom berkata, Warie yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu adalah seorang individu yang sentiasa bersemangat dan berkeyakinan sejak kecil.
“Ketika di bangku sekolah, dia memang aktif dan suka masuk pertandingan, malah pastikan kemenangan berpihak padanya.
“Saya amat berharap Warie baik-baik saja walaupun tidak dapat tidur lena mengenangkan sudah makankah dia atau cukupkah bekalannya sementara usaha mencarinya sedang berlangsung.
“Saya ada cuba menghubungi pasukannya untuk mendapatkan maklumat terbaharu mengenai Warie, namun gagal,” katanya.
Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat selepas menakluk punca Everest petang Khamis lalu.
Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT).
Pengarah di Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki dilaporkan berkata, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan terutama di semua kem pendakian lain.
Menurutnya, pihaknya difahamkan, Muhammad Hawari dilaporkan keluar dari kem empat secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung dan rakan pendakinya ME2023, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56.
Bagaimanapun, Awang Askandar yang juga rakan pendaki Muhammad Hawari disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter. – UTUSAN











