KOTA BHARU: Harga ikan di negeri ini melambung naik susulan kekurangan bekalan bahan mentah itu dipercayai berpunca daripada fenomena bulan ‘cerah’ yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar basah di negeri ini mendapati, peniaga mendakwa bekalan bahan mentah itu berkurangan sejak seminggu lalu menyebabkan mereka terpaksa menjual ikan sejuk beku.
Seorang peniaga, Hafiz Ahmad Yusof, 32, tidak menolak kemungkinan fenomena bulan ‘cerah’ menyebabkan hasil tangkapan ikan mulai menyusut.
“Hari ini harga ikan kembung dijual antara RM16 hingga RM18 sekilogram berbanding sebelumnya, RM12 sekilogram.
“Cencaru hari ini pula dijual pada harga RM12 (sekilogram) berbanding sebelum ini, RM10,” katanya di sini semalam.
Sementara itu peniaga ikan di Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat, Suzairi Rozi, 32, mengakui bekalan ikan kurang sejak seminggu lalu disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.
Katanya, bagi menampung kekurangan bekalan ikan itu, kebanyakan peniaga menjual ikan sejuk beku terutamanya ikan selayang dan cencaru.
“Kami menjual ikan selayang dan cencaru sejuk beku. Sekarang ini harganya antara RM10 hingga RM12 sekilogram.
“Tiga hari lalu ikan selayang segar ada, namun harganya terlalu mahal mencecah sehingga RM18 sekilogram menyebabkan pengguna terkejut. Modal sahaja pun dah RM15 sekilogram dan bekalan ikan selayang segar sangat terhad kerana tiada stok. Saya hanya dapat 10 kilogram,” jelasnya.
Suzairi berkata, ketika ini ikan laris kerana ada kenduri-kendara dan rumah terbuka Aidilfitri tetapi bekalan pula tiada. – UTUSAN